Anda di sini

See Hua Marketing lancar Pesta Usahawan Miri Ke-11

Advertisement

Pesta bermula hari ini hingga Ahad sarat pelbagai aktiviti

// Oleh Eric Edward //

 Pengerusi Mitraf 11 Romy Moi (tiga kanan) menyampaikan surat jemputan kepada Adam Yii, sambil disaksikan oleh ahli-ahli jawatankuasa.

DIJEMPUT: Pengerusi Mitraf 11 Romy Moi (tiga kanan) menyampaikan surat jemputan kepada Adam Yii, sambil disaksikan oleh ahli-ahli jawatankuasa.

MIRI: See Hua Marketing Sdn Bhd (SHM) dengan kerjasama Bintang Megamall akan mengadakan edisi ke-11 Pesta Usahawan Miri (Mitraf 11) bermula hari ini (Ogos 4) hingga Ahad.

Pameran perdagangan empat hari ini akan disertai sejumlah 70 gerai yang mempamerkan produk-produk seperti barangan elektrik dan elektronik, perabot, alat dan mesin, alat keselamatan, perkakas memasak, hartanah, makanan dan minuman, komputer dan teknologi maklumat, perkhidmatan pengantin, kecantikan dan produk pelangsingan badan serta kek dan pastri.

Usahawan Mikro Kebajikan (UMK) mengetengahkan 20 vendor yang akan mempromosikan makanan tradisional, kuih-muih, kraf tangan serta perkhidmatan refleksologi kaki.

Jingdezhen Procelain Institute turut mengadakan jualan amal pasu sepanjang pesta empat hari ini.

Hari ini akan berlangsung persembahan nyanyian oleh warga Pusat Perkhidmatan Warga Emas Bandaraya Miri diikuti dengan  majlis pembukaan rasmi  Mitraf 11 oleh Datuk Bandar Miri Adam Yii pada jam 2 petang.

Esok, Kuan Yuan Gua Sua Health Care Service akan menganjurkan ceramah kesihatan pada  jam 10 pagi diikuti dengan persembahan pentas oleh para pelajar Kolej Antarabangsa Fajar. Pertandingan Kostum Etnik Sarawak dijadualkan pada jam 7 malam.

Pada hari Sabtu, See Hua Marketing dengan kerjasama Naja Enterprise akan membawa satu lagi sesi kartun dan maskot filem animasi iaitu ‘Mini Movie World Park’ yang menampilkan maskot-maskot seperti Angry Bird, Batman, Queen Elsa, watak-watak dari kartun dan filem seperti Bumblebee, Minions, Penguins of Madagascar, Peter Pan, Scooby-doo, Spongebob, Optimus Prime, Stitch dan Zootopia bermula dari jam 12 tengah hari hingga 9 malam.

Acara ini ditaja oleh ENE (East Malaysia) Sdn Bhd dan ia adalah sebahagian daripada aktiviti-aktiviti untuk pesta usahawan empat hari ini.

Pada hari Ahad akan diadakan jualan amal oleh Pei Min Middle School pada jam 9 pagi dan kemudian persembahan bakat ‘Kanak-kanak Do RE Mi’ oleh Persatuan Pengusaha Tadika / Taska Miri dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Satu demonstrasi memasak menggunakan alat memasak jenama Buffalo daripada Hong Kong Cookware Lifestyle Corner akan bermula pada jam 1 petang.

Satu ceramah kesihatan yang dianjurkan bersama oleh Sayap Wanita Huazong Miri dan Yuanpei University of Medical Technology dari Taiwan akan berlangsung mulai jam 1.30 petang diikuti cabutan bertuah pada jam 8.30 malam.

Penaja utama Pesta Usahawan Miri Ke-11 ini ialah United Fusion Sdn Bhd, CL Khoon Electronics Sdn Bhd dan Hup Seng Furniture Showroom.

Para pelanggan yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM100 di gerai-gerai yang mengambil bahagian atau RM300 untuk tempahan kenderaan atau hartanah boleh meyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Mitraf 11 mendapat sokongan Majlis Bandaraya Miri dan masuk adalah percuma.

Advertisement