Anda di sini

O2O Commerce mahu bantu peniaga promosi laman web

Advertisement

Syarikat bekerjasama dengan peniaga M’sia dan Indonesia

KUALA LUMPUR: Pembekal perkhidmatan perniagaan dalam dan luar talian, O2O Commerce Sdn Bhd, mahu membantu 3,000 peniaga baharu mempromosikan laman web mereka termasuk mendorong pelanggan digital melawat kedai fizikal milik para peniaga ini.

Pengasas Bersama/Pengarah Eksekutif Liow Ren Jan berkata, syarikat itu akan bekerjasama dengan para peniaga Malaysia dan Indonesia selepas membentuk perkongsian dengan pengilang herba dari Indonesia, Leo Agung Raya PT pada bulan lepas.

“Untuk Malaysia, kami memberi fokus kepada kedai-kedai kecantikan, rantaian runcit serta bisnes makanan dan minuman,” katanya kepada Bernama selepas acara Penyelesaian Bisnes Tanpa Sempadan, Perdagangan dan Persidangan’.

Syarikat tersebut juga merancang untuk memperluaskan perkhidmatannya ke pasaran baru muncul seperti Vietnam dan Thailand pada tahun depan bagi mencapai matlamat menjadi syarikat yang terkemuka di ASEAN.

Liow berkata, untuk membolehkan syarikat itu menembusi komuniti peniaga yang lebih besar, ia akan bekerjasama dengan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia bagi mengambil peluang ke atas 250 operator kedai rantaian peruncitan termasuk francaisor yang memiliki sebanyak 20,000 cawangan di seluruh negara ini.

Syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia telah membentuk kolaboratif dengan sistem bersepadu e-dagang serta pembekal khidmat dompet maya, GT Dollar (M) Sdn Bhd dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Sekarang ini, ia mempunyai 40,000 peniaga daripada komuniti GT Dollar dan 4,800 pedagang dari platform perdagangan elektronik HDC.

“Kami juga sedang bekerjasama dengan Herbal Asia, pasaran dan penganjur pameran perdagangan yang paling utama di rantau ini, bagi membangunkan pameran maya yang pertama di Malaysia.

“Terdapat potensi yang besar dan permintaan dalam pasaran kerana para peniaga mahu membangunkan jenama mereka serta mewujudkan kesedaran bagi memandu trafik ke kedai-kedai runcit mereka,” kata Liow.

Kebanyakan syarikat-syarikat berasaskan produk herba, agensi kerajaan, pakar-pakar industri dan penyedia perkhidmatan, bertemu serta berkongsi maklumat, bertukar pendapat, mencari dan mengenal pasti rakan-rakan kongsi mereka semasa pertunjukan perdagangan.

O2O Commerce, yang ditubuhkan pada Januari 2016, memberi tumpuan kepada kepentingan ‘Platform Ketiga’.

‘Platform Ketiga’ dipercayai menjadi haluan utama interaksi dalam menjalankan perniagaan di seluruh peranti, termasuk sambungan tanpa wayar  seperti telefon pintar, mesin dan sensor. — Bernama

Advertisement