Anda di sini

Minggu Keusahawanan Malaysia pertama diadakan pada Oktober

Advertisement
 Najib (tengah) bersama Musa (kanan) dan Irwan Serigar (kiri) pada perasmian Global Enterpreneurship Community 2016 (GEC) sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-12 (WIEF Ke-12) di Jakarta semalam. — Gambar Bernama

PERASMIAN: Najib (tengah) bersama Musa (kanan) dan Irwan Serigar (kiri) pada perasmian Global Enterpreneurship Community 2016 (GEC) sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-12 (WIEF Ke-12) di Jakarta semalam. — Gambar Bernama

JAKARTA: Malaysia akan menganjurkan Minggu Keusahawanan Malaysia pertama di Kuala Lumpur pada Oktober ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan negara untuk menyokong keusahawanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, semalam.

Inisiatif itu, yang akan diadakan dari 31 Okt hingga 3 Nov, merupakan kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF).

Minggu Keusahawanan Malaysia itu akan bermula dengan WIEF IdeaLab pada 31 Okt-1 Nov, dan diteruskan dengan Komuniti Keusahawanan Global (GECommunity) pada 2-3 Nov, 2016.

“Dengan pertumbuhan pesat pasaran di seluruh Asia, acara-acara ini bertujuan untuk memudahkan perbincangan berkaitan aliran pelaburan dan mengumpulkan bersama pelabur swasta dan syarikat inovatif yang mempunyai prospek cerah dan kita akan lihat apakah hasil daripada pertemuan tersebut,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan pada pelancaran awal GECommunity 2016 yang diadakan di luar acara WIEF ke-12, di sini.

Turut hadir ialah Tun Musa Hitam, Pengerusi Yayasan WIEF, Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Acara GECommunity itu, yang merupakan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan disasarkan menjadi sidang kemuncak peringkat tinggi yang akan mengumpulkan bersama-sama ketua-ketua ekosistem, penggubal dasar dan ketua-ketua masyarakat untuk membincangkan dan membentuk semula masa depan keusahawanan.

Ia akan menumpukan kepada siri kluster, termasuk bioteknologi, makanan dan pertanian, runcit dan pelancongan, bandar pintar, sumber alternatif, pendidikan dan kewangan, media dan industri kreatif, penjagaan kesihatan dan pengangkutan dan logistik.

“Seramai 100 ketua industri, pakar dan pembiaya akan berkumpul di Kuala Lumpur, dan menjadi harapan kita ini akan menjadi pemangkin bagi perkongsian dan dan dasar global sebenar yang akan membawa perubahan sebenar dan membuka lebih banyak peluang bagi usahawan dalam ekonomi masa depan,” katanya.

GECommunity akan melabuh tirai dengan majlis Anugerah Global Start-up yang akan memberi penghargaaan kepada syarikat permulaan (start-up) terbaik dunia yang akan dipilih selepas saringan dan penilaian yang teliti selama berbulan-bulan.

Matlamat utama Minggu Keusahawanan Malaysia adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan kemakmuran dengan membantu melahirkan generasi baharu usahawan yang berjaya dan menyediakan sokongan dan rangsangan bagi mereka yang telahpun bergiat aktif.

Perusahaan keusahawanan yang sedang berkembang pesat dilihat sebagai sumber penting inovasi, pekerjaan dan pertumbuhan produktiviti.

Usahawanlah yang sering tampil dengan idea inovatif yang merevolusikan kehidupan kita, terutamanya apabila berkaitan dengan teknologi.

“Kita ingin melihat keusahawanan berkembang pada setiap peringkat masyarakat dan di setiap bahagian negara.

“(Bukan sahaja) di bandar raya dan bandar-bandar tetapi juga di kampung dan kawasan luar bandar, memperkasakan wanita serta lelaki dalam kalangan semua peringkat usia,” kata Najib.

Sementara itu, GECommunity ialah kerjasama antara Pejabat Pembangunan Keusahawanan Nasional di bawah Kementerian Kewangan, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia dan Pergerakan Keusahawanan Global (GEM). — Bernama

Advertisement