Anda di sini

Datasonic bukan pembekal utama cip, buku pasport Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Datasonic Group Bhd semalam menjelaskan bahawa ia bukan pembekal utama semasa bagi buku dan cip elektronik pasport Malaysia untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu turut menegaskan kontrak bernilai RM542.12 yang diperolehi unitnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) bagi pembekalan buku pasport dan cip berkenaan selama lima tahun, akan hanya bermula pada 1 Dis, 2016.

“Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN), syarikat diswastakan oleh Jabatan Percetakan Nasional milik kerajaan sudah diberi tempoh lanjutan selama enam bulan oleh kerajaan bagi membekalkan dua juta buku pasport dan cip berkenaan mulai 1 Jun, 2016 sehingga 30 Nov, 2016,” katanya.

Kenyataan diumumkan Datasonic Group itu dibuat berikutan laporan media bahawa Datasonic adalah pembekal utama pasport serta kebanyakan cip yang digunakan paparan data yang rosak atau bermasalah.

“Datasonic akan menjadi subkontraktor baharu kepada KDN bagi pembekalan dua juta cip yang akan dimasukkan ke dalam muka surat biodata polikarbonat berkenaan,” katanya.

Jelas syarikat itu, perbincangan pertama mengenai terma, syarat serta rangka perjanjian subkontraktor oleh pihak KDN bermula pada 29 Julai, 2016.

“Jika semua berjalan lancar, satu perjanjian subkontraktor antara KDN dan Datasonic bagi pembekalan dua juta cip kepada PKN dijadual ditandatangani manakala pengumuman sewajarnya akan turut dibuat,” kata Datasonic.

Mengulas selanjutnya, firma yang tersenarai di papan utama itu berkata, bagi tempoh bermula April hingga Julai 2016, ia telah membuat penghantaran sejumlah 1,020,252 unit muka surat data polikarbonat kepada PKN yang mengandungi 121,000 muka surat data polikarbonat nipis dan 899,252 muka surat data polikarbonat jenis tebal dilengkapi cip.

Purata penghantaran bagi tempoh empat bulan lepas iaitu dari April hingga Julai 2016, adalah sebanyak 255,063 unit, katanya.

“Peralihan sebenar kepada pasport baharu yang dilengkapi cip dalam muka surat data polikarbonat itu bermula pada 16 Mei, 2016 dan penggunaan muka surat baharu itu adalah kurang daripada 55,000 unit,” kata Datasonic.

Pada April 2016, katanya, syarikat itu membuat penghantaran sebanyak 223,000 unit merangkumi 119,000 muka surat data polikarbonat nipis dan 104,550 unit muka surat data polikarbonat tebal dilengkapi data.

Bagi Jun dan Julai 2016, jumlah muka surat data polikarbonat dilengkapi cip yang dihantar kepada KDN adalah masing-masing 369,916 dan 277,124 unit.

“Kadar kelulusan (penggunaan) cip itu selepas 100 peratus kawalan kualiti oleh pihak Trub AG, Switzerland sebelum penghantaran dan 100 peratus kawalan kualiti seterusnya oleh Datasonic dan PKN adalah melebihi 99.76 peratus.

“Sehubungan itu, tidak timbul sebarang isu mengenai kualiti cip berkenaan,” katanya.

Menurut syarikat itu, setakat 24 Jun, 2016, daripada sejumlah 523,940 unit cip yang dihantar dan disahkan oleh kontraktor utama sebelum pengeluaran, kadar penolakan cip itu adalah kecil iaitu cuma 0.24 peratus.

“Dakwaan bahawa sebahagian besar cip yang dihantar kepada kontraktor utama itu ditolak akibat kerosakan, adalah tidak wujud sama sekali,” kata Datasonic.

Proses baharu menggunakan pintu elektronik atau ‘e-Gate’ sebagaimana dipaparkan pada notis e-Gate yang dibekalkan serta dikendalikan oleh vendor lain, adalah untuk membolehkan muka surat data itu dibaca serta ditempatkan di bahagian atas (mesin) pengimbas.

Malah, proses pengimbasan pasport itu adalah disyorkan oleh pihak Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi mempertingkat keselamatan kawalan sempadan dan digunapakai di serata dunia.

“Semua pemegang pasport baharu dan laman tidak akan berdepan sebarang masalah ketika menggunakan e-Gate selagi mereka mematuhi proses baharu pengimbasan bertujuan mempertingkatkan kawalan keselamatan sempadan,” katanya.

Pada jam 2.26 petang semalam, harga saham Datasonic susut satu sen kepada RM1.35. — Bernama

Advertisement