Anda di sini

BCM Alliance dapat kelulusan penyenaraian di pasaran ACE

Advertisement

KUALA LUMPUR: BCM Alliance Bhd menerima kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd bagi melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenarai di Pasaran ACE Bursa Securities.

Syarikat ini terlibat dalam pengedaran peralatan, serta pakar dalam dobi komersial dan perniagaan peranti perubatan di Malaysia.

Dalam satu kenyataan semalam, syarikat itu berkata IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan 84.25 juta saham baharu dalam BCM, yang mewakili 20 peratus daripada modal terbitan dan saham berbayar.

BCM dijadual disenaraikan pada Oktober 2016.

M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO itu.

Syarikat itu berkata daripada 84.25 juta saham baharu itu, 22 juta akan ditawarkan kepada orang awam di Malaysia melalui cabutan dan sembilan juta saham baharu untuk pengarah dan pekerja.

Baki 53.25 juta saham baharu dikhususkan untuk penempatan swasta kepada pelabur terpilih.

Pemegang saham sedia ada syarikat itu akan membuat tawaran jualan 42.13 juta saham kepada pelabur terpilih melalui tawaran swasta.

Pengarah Urusan, Liaw Chong Lin berkata kelulusan bagi penyenaraian itu merupakan peristiwa penting dalam perjalanan syarikat untuk menjadi satu entiti yang disenaraikan.

“IPO akan menyediakan BCM dengan fleksibiliti kewangan untuk meneruskan peluang pertumbuhan masa depan.

“Apabila disenaraikan, kami akan diletakkan pada kedudukan yang lebih kukuh untuk mengembangkan peralatan dobi komersial dan perniagaan peralatan perubatan,” katanya.

Hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk menubuhkan rangkaian 11 kedai dobi layan diri baharu Queen Speed yang menjadi kedai konsep di seluruh Malaysia, pembelian peralatan dobi komersial baharu dan peralatan perubatan.

Ia juga akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal hari bekerja syarikat dan perbelanjaan penyenaraian IPO.

Speed Queen merupakan jenama peralatan dobi komersial terkenal di bawah Alliance Laundry Systems LLC (Alliance Laundry), pengeluar antarabangsa peralatan dobi komersial yang disenaraikan di Bursa Saham New York.

Penubuhan rantaian Speed Queen dijangkakan menyediakan BCM peluang untuk mewujudkan dan mengembangkan kehadiran pasarannya dan asas pelanggan dalam industri kelengkapan dobi komersial.

Ia juga dijangka dapat meningkatkan pemasaran syarikat dan kesedaran ramai tentang jenama Speed Queen di Malaysia. — Bernama

Advertisement