Anda di sini

Kakitangan awam perlu adaptasi diri dengan ICT

Advertisement

KOTA KINABALU: Setiap kakitangan awam masa kini perlu  mengadaptasi diri mereka dengan perubahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) semasa bagi membantu usaha ke-rajaan memaksimumkan keberkesanan sistem penyampaian perkhid-matannya kepada rakyat.

Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Siringan Gubat berkata penggunaan teknologi terkini ICT merupakan kunci kepada peningkatan sistem penyampaian kerajaan dan produktiviti anggota perkhidmatan awam.

Katanya laporan Worldwide Governance Indicators 2014 yang dikeluarkan oleh Bank Dunia di bawah dimensi keberkesanan kerajaan, yang mana Malaysia mendapat markah 83.7 peratus dan diletakkan di kedudukan setanding dengan negara-negara seperti Korea Selatan dan Taiwan, membuktikan bahawa adaptasi kepada teknologi semasa itu amat peting.

“Ini membuktikan dengan wujudnya infrastruktur teknologi maklumat dan automasi, ia dapat menyokong pencapaian tahap kecekapan kerajaan.

Oleh itu, agenda besar transformasi negara harus diperkemas dengan pelbagai program transformasi ICT bagi meletakkan asas kukuh pembangunan negara dan memaksimumkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Siringan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Pegawai Maklumat Agensi Kerajaan Negeri Sabah 2016, anjuran  Jabatan Perkhidmatan Komputer negeri di Hotel Tabung Haji di sini semalam.

Menurut Siringan, untuk memastikan kelestarian perkhidmatan awam, segala usaha yang dilaksanakan kakitangan dan agensi awam haruslah tertumpu ke arah mencapai tiga tonggak kestabilan pembangunan iaitu sosial, ekonomi dan persekitaran.

“Sesungguhnya  ICT merupakan pemangkin yang membantu ke arah tersebut. Sebagai contoh (dalam aspek) pengesanan perubahan alam sekitar secara automatik, sistem pengangkutan yang pintar dan cara baru untuk meningkatkan kecekapan tenaga,” kata Siringan.

Justeru kata Siringan agensi kerajaan hendaklah mempunyai Pelan Transformasi masing-masing yang dirancang secara strategik agar ia kekal relevan dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya persekitaran masa kini, dengan pelbagai cabaran kompleks, kesan daripada kepesatan teknologi serta perubahan sosial dan ekonomi sedunia menuntut sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih inovatif demi memenuhi harapan serta melangkaui kehendak pelanggan dan pihak berkepentingan.

“Keadaan ini memberi kesan kepada penggunaan ICT, khususnya dengan sumber kewangan yang terhad serta keperluan modal insan yang berkualiti.

Oleh itu, perkhidmatan awam perlu lebih responsif dan kreatif melalui pelbagai inisiatif seperti sistem pembayaran, sistem penerimaan bayaran dan aduan pelanggan secara bergerak ke arah perkhidmatan yang lebih efektif, cepat dan tepat,” katanya. — Bernama

Advertisement