Anda di sini

Berjaya Starbucks Coffee Company sasar bandar kecil

Advertisement
 Salleharon menjelaskan kepada media langkah-langkah menyediakan secawan kopi curah di Starbucks Plaza Merdeka, semalam.

UNIK: Salleharon menjelaskan kepada media langkah-langkah menyediakan secawan kopi curah di Starbucks Plaza Merdeka, semalam.

KUCHING: Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd terus menyasar bandar-bandar serta daerah-daerah kecil di seluruh negara sebagai tapak potensi untuk meluaskan outletnya pada masa hadapan.

Menurut Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam dan Strategi Digital Berjaya Starbucks Coffee Company Salleharon Ahmad, syarikat yang menguruskan cawangan-cawangan Starbucks di seluruh Malaysia dan Brunei itu telah meneroka banyak bandar kecil serta mengenal pasti beberapa lokasi sebagai tapak berdaya maju untuk pengembangan kedai di Malaysia.

Tambahnya, senarai kriteria diambil kira adalah berdasarkan permintaan dan lokasi itu sendiri.

“Kita membuka premis di tempat-tempat seperti Manjung (Perak), Muar (Johor), Bintulu dan Kota Samarahan. Untuk makluman anda, Manjung merupakan pekan nelayan. Kita juga berasa terkejut melihat respon menggalakkan dari para pelanggan dari premis-premis ini.

“Justeru, kawasan-kawasan kecil ini akan terus menjadi aspek utama pelan peluasan Starbuck Malaysia,” katanya kepada pemberita di Starbucks Plaza Merdeka, di sini, semalam.

Setakat ini, syarikat itu mengendalikan lebih 120 kedai di seluruh negeri – 12 daripada jumlah tersebut adalah di Sarawak dimana sebuah premis baharu dibuka di Jalan Pedada di Sibu, kata Salleharon.

“Premis di Sibu ini dibuka selepas pembukaan di Bintulu pada September tahun lepas. Setakat ini, respon diterima adalah amat positif,” katanya.

Ketika menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan mewujudkan premis pandu lalu di Sarawak seperti di Semenanjung Malaysia, beliau memberitahu, Starbucks Malaysia akan sentiasa mencari apa-apa peluang untuk berkembang.

“Ini termasuk mewujudkan premis pandu lalu di Sarawak – jika ada lokasi sesuai dan terdapat permintaan,” katanya sambil menambah, syarikat itu mempunyai lebih 20 outlet pandu lalu.

Dalam sesi bersama media itu, Salleharon berkata, ia adalah bagi memperkenalkan kaedah membru ‘curah’ (pour-over) kepada penggemar kopi tempatan.

Menurut beliau, kaedah membru itu mula diperkenalkan di ‘Reserve Starbucks Store’ di The Gardens, Kuala Lumpur pada Oktober tahun lepas.

Bagi Sarawak, premis di Plaza Merdeka merupakan yang pertama untuk menawarkan kopi yang dicurah, tambahnya.

“Saya percaya bahawa sekarang, penggemar kopi di sini mempunyai pilihan lain apabila ingin menikmati minuman kegemaran. Apa yang menjadikan pour-over berbeza berbanding jenis yang ditekan, ialah para pelanggan boleh memilih sendiri biji kopi kegemaran mereka.

“Ia juga disesuaikan untuk dihidangkan setiap cawan sekaligus memberi pelanggan pengalaman peribadi,” katanya.

Antara perbezaan lain kata Salleharon, adalah cara penyediaannya apabila ia hanya disediakan pakar kopi (coffee master) bertauliah Starbucks iaitu merupakan pelayan dilatih sepenuhnya yang bukan sahaja menyedia cawan penuh perisa, tetapi menceritakan di sebalik setiap bru.

Pakar kopi boleh dikenal pasti dengan mudah apabila memakai apron berwarna hitam dan bukan hijau seperti lazim digunakan.

Setakat ini, bru yang dicurah hanya boleh didapati di premis Starbucks terpilih di seluruh negara, termasuk The Gardens dan Plaza Merdeka.

Advertisement