Anda di sini

Penghasilan inovasi dalam penggunaan teknologi maklumat bertepatan

Advertisement
 Francis (kiri)menyampaikan Modul LBK yang dilancarkan kepada Masly disaksikan oleh Charles (tengah).

BUDAYAKAN ICT: Francis (kiri)menyampaikan Modul LBK yang dilancarkan kepada Masly disaksikan oleh Charles (tengah).

KENINGAU: Warga pendidik yang menghasilkan inovasi termasuk membangun modul untuk kegunaan guru di pedalaman, terutama dalam penggunaan teknologi maklumat sangat bertepatan dengan persiapan menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ellron Alfred Angin berkata sumbangan guru pakar di daerah ini sangat diperlukan dalam membantu meningkatkan prestasi pendidikan, melalui pelbagai kaedah dan pendekatan khusus kepada guru melalui program latihan kemahiran ICT.

Justeru, katanya usaha guru-guru yang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang pendidikan sehingga di peringkat Doktor Falsafah dalam memberi sumbangan kepada masa depan pendidikan yang terus berdaya saing sangat digalakkan dan dihargai.

“Saya yakin, guru-guru yang terlibat sebagai penyelidik dalam kajian pendidikan sehingga di peringkat yang lebih tinggi ini akan menjadi tenaga pakar pendidikan yang boleh diguna pakai dalam memartabatkan profesion perguruan secara berterusan,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran penggunaan Modul Latihan Berbantukan Komputer (LBK) di sini baru-baru ini.

Program itu anjuran pelajar Pascasiswazah Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mengambil program Ijazah Doktor Falsafah secara penyelidikan.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pemimpin Kemajuan Masyarakat Sook, Charles Ikang.

Program itu dihadiri oleh lebih 30 peserta terdiri daripada guru-guru sekolah rendah daripada 37 buah sekolah terpilih di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Masly Wahip, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Keningau Wahanin Ismail serta pengerusi MGB Zon Sook, Pegalan,Bandar dan Apin-Apin.

Masly dalam ucapannya berkata guru-guru perlu manfaatkan sebarang inovasi yang dibangunkan oleh guru-guru pakar dalam bidang tertentu, termasuk Modul LBK yang dibangunkan oleh pelajar Pascasiswazah UMS yang terdiri daripada guru-guru dari daerah ini.

“Saya mengharapkan usaha dan sumbangan yang diberikan oleh guru-guru yang melanjutkan pelajaran di semua peringkat terutama Doktor Falsafah (Ph.D) dapat membantu pihak Pejabat Pendidikan,guru-guru serta Jabatan dalam jangka panjang dalam mempersiapkan diri guru untuk menyahut cabaran serta mengaplikasikan pendekatan pendidikan abad ke-21 ini dengan jayanya,”katanya.

Terdahulu Masly bersama Charles, Majlis Guru Besar serta warga pendidik yang hadir menyaksikan gimik pelancaran dan penerimaan penggunaan Modul LBK dalam kalangan guru-guru didaerah ini.

Pengarah Program yang juga panel penulis Modul LBK, Francis Andin, berkata modul yang dibangunkan dalam bentuk Portal Laman Web membantu dan memudahkan guru mendapatkan latihan kendiri dalam talian dan menggunakan bahan pada bila-bila masa sehingga tamat empat modul yang memfokuskan kepada kemahiran menggunakan pelbagai aplikasi ICT.

“Antaranya membina hamparan elektronik, penerbitan atas meja, pangkalan data, persembahan bahan pengajaran, Internet selain ruangan latihan, pengayaan dan forum.

“Modul ini masih dalam peringkat pembinaan dan penambaikan berterusan, boleh dilayari oleh guru-guru sahaja selepas mendaftarkan diri di alamat http://modullatihanlbk.forumotion.com dan menggunakan bahan yang dimuat naik untuk membantu guru membudayakan amalan ICTdi sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Teknologi dan Vokasional Pejabat Pendidikan Daerah Keningau, Stenly Marius Jinin, berkata penglibatan warga pendidik dalam usaha membangunkan inovasi pendidikan menunjukkan kesungguhan warga pendidik dalam memastikan kemajuan pendidikan seiring dengan keperluan semasa dunia pendidikan masa kini dan akan datang.

“ Syabas dan tahniah kerana julung kalinya kumpulan guru pascasiswazah UMS telah berusaha membangunkan modul latihan dalam talian dan ini sudah tentu mengurangkan pergerakan guru keluar berkursus kerana semuanya hanya berpandukan komputer dan layak mendapat sijil kehadiran kursus atau latihan,” katanya.

Program diakhiri dengan sesi penilaian kendiri penerimaan guru terhadap Modul LBK dalam pengurusan dan pengajaran pembelajaran di sekolah.

Advertisement