Anda di sini

Jabatan Air diminta salur bekalan air ke lapan kampung dalam DUN Lumadan

Advertisement

 Kamarlin berucap memberikan penerangan kepada sebahagian pemimpin masyarakat pada majlis berkenaan.

ATASI MASALAH: Kamarlin berucap memberikan penerangan kepada sebahagian pemimpin masyarakat pada majlis berkenaan.

BEAUFORT: Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi meminta Jabatan Air Beaufort menghantar air bersih ke lapan perkampungan dalam kawasan Lumadan yang terjejas akibat terputus bekalan sejak Aidilfitri lalu.

Beliau berkata usaha terbabit perlu dilaksanakan secara berterusan bagi mengurangkan kesulitan dihadapi sebahagian penduduk yang kerap kali terputus bekalan akibat daripada tekanan pam rendah.

“Sementara menunggu Loji Rawatan Air Jempangah beroperasi sepenuhnya Disember tahun ini, saya meminta Jabatan Air Beaufort melaksanakan penghantaran air ke kampung yang terlibat.

“Difahamkan, loji yang dibina dengan kos RM229 juta ini telah pun mencapai 98 peratus siap,” katanya ketika ditemui pada Perjumpaan Bersama Pemimpin Akar Umbi Zon Lumadan, di sini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintenden Azmir Abd Razak; Penolong Jurutera Jabatan Air Cawangan Beaufort Mohd Saidi Matbin; dan Pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan Junli Usop.

Kamarlin yang juga ADUN Lumadan turut menyambut baik cadangan Jabatan Air Beaufort yang akan membina tangki statik di lapan kampung terlibat.

Beliau berkata langkah itu dilihat mampu menyokong operasi penghantaran bekalan air sekali gus mengatasi kekhuatiran jika berlaku lagi sebarang masalah sama pada masa depan.

Menurutnya sebanyak 400 liter air akan disalurkan setiap hari manakala tugas pengagihan bekalan kepada penduduk akan dilaksanakan pemimpin masyarakat setempat yang turut bertanggungjawab menjaga kemudahan berkenaan.

“Saya difahamkan, cadangan ini akan dimuktamadkan dalam perbincangan di antara Jabatan Air Beaufort bersama pemimpin masyarakat yang akan diadakan pada bulan depan.

“Justeru, saya berharap ia dapat direalisasikan secepat mungkin sebagai salah satu kaedah tambahan sekiranya berlaku lagi masalah air pada masa depan,” katanya.

Advertisement