Anda di sini

Enam kampung di Mukim Rundum bakal nikmati bekalan elektrik

Advertisement

TENOM: Selewat-lewatnya tiga hingga lapan bulan dijangkakan bekalan elektrik akan dapat disambungkan ke rumah-rumah di Kampung (Kg) Kapulu, Kg Patian, Kg Korolok, Kg Ketubu, Kg Abingkoi dan Kg Ahuron yang terletak di Mukim Rundum, Kemabong setelah beberapa isu diselesaikan.

Pegawai Kemajuan Negeri Sabah (Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri) Ruji Ubi berkata dua bangunan telah pun siap dibina dan hanya menunggu kerja tambahan di bagi memenuhi piawaian pihak SESB dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Bangunan tambahan itu dikenali sebagai Pencawang Penurun Utama (PPU) yang mengawal penyambungan bekalan elektrik ke rumah-rumah penduduk kampung,” katanya ketika sesi taklimat sempena Lawatan Pemeriksaan Bersama Masalah Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Kg Kapulu, baru-baru ini.

Jelasnya kerja menyiapkan dua bangunan tambahan punca utama kelewatan penyambungan bekalan elektrik ke keenam-enam kampung di mukim berkenaan.

Katanya bangunan tambahan PPU itu terletak di kawasan Pekan Tenom dan Kemabong.

“Sebelum projek bekalan elektrik ini dimulakan dengan kos sebanyak RM47.6 juta pada tahun 2012 dan siap pada 2013, keperluan bangunan tambahan ini belum lagi dimasukkan dalam kontrak asal.

“Namun, atas keperluan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), pada masa hadapan bangunan tambahan ini perlu didirikan untuk mengawal bekalan elektrik yang disambungkan dari Tenom,” katanya.

Ruji berkata peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta diperlukan bagi mengeluarkan kontrak yang baharu.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layapan mengingatkan penduduk terutamanya ketua kampung dan pengerusi JKKK supaya memberi penjelasan kepada penduduk kampung punca masalah kelewatan penyambungan bekalan elektrik di kawasan kampung masing-masing.

“Kita tidak mahu ada salah faham di peringkat kampung yang mengatakan bahawa pihak kerajaan tidak bersungguh-sungguh untuk membantu penduduk kampung.

“Perubahan keperluan dua bangunan inilah yang menyebabkan kelewatan penduduk menikmati bekalan elektrik di luar bandar sejak pelaksanaannya pada 2012,” katanya.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Tenom Kassim Yunus, Penolong Pegawai Daerah Kemabong Jasli Tindi, Pegawai Penerangan Tenom Kenny Thomas, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tenom Ampalang Payu, dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Kemabong Sukimin Rukini.

Advertisement