Anda di sini

Tambah peruntukan untuk Sabah

Advertisement

Saranan kepada kerajaan pusat dalam menyedia bajet tahun depan

 Radin dan Nilwan menyampaikan sumbangan kepada para penghuni Rumah Anak Yatim As-Sakinah Lok Kawi.

SUMBANGAN: Radin dan Nilwan menyampaikan sumbangan kepada para penghuni Rumah Anak Yatim As-Sakinah Lok Kawi.

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan digesa meningkatkan jumlah peruntukan pembangunan untuk negeri Sabah, khususnya dalam bajet tahun hadapan, agar program-program pembangunan luar bandar di negeri ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Radin Malleh berkata,  permintaan kerajaan negeri itu wajar kerana usaha membangunkan kawasan luar bandar di negeri ini memerlukan kos perbelanjaan yang lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia.

“Sebab itu, kita berharap lebih banyak peruntukan kerajaan persekutuan disalurkan kepada kerajaan negeri Sabah khususnya kementerian saya agar dapat melaksanakan program-program pembangunan luar bandar di negeri ini dengan berkesan,” katanya di Majlis Hari Raya Aidilfitri kementeriannya di Sembulan di sini pada Isnin.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Nilwan Kabang, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Abu Bakar Latip, Timbalan Setiausaha Tetap Sualim Sanan, para pegawai kanan dan kakitangan kementerian.

Radin serta Nilwan turut menyampaikan sumbangan kepada para penghuni Rumah Anak Yatim As Sakinah Lok Kawi yang diiringi oleh Ustaz Ahmadi Andar.

Radin berkata selain melaksanakan pembangunan fizikal, kerajaan negeri juga menumpukan aspek pembangunan insan terutamanya melalui pembinaan sekolah-sekolah bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan dan berkemahiran.

“Contohnya, pembinaan kemudahan awam seperti sekolah itu penting bagi menjana pembangunan modal insan.

“Namun masih banyak sekolah luar bandar di Sabah yang berkeadaan daif. Situasi ini mewujudkan persekitaran sekolah yang kurang kondusif yang boleh menjejaskan usaha melahirkan para pelajar luar bandar yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang.

“Jadi kita berharap kerajaan persekutuan dapat menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk menaik taraf sekolah-sekolah di luar bandar di Sabah. Kita harus menghargai sokongan tinggi rakyat di kawasan luar bandar terhadap kerajaan pada pilihan raya lalu kerana ia tanda keyakinan rakyat terhadap kerajaan untuk memajukan kawasan mereka,” katanya.

Katanya, semua jabatan serta agensi persekutuan dan negeri yang terbabit dalam pembangunan luar bandar harus bekerjasama untuk melaksanakan program pembangunan luar bandar.

Radin turut menyifatkan majlis itu amat baik dan wajar dianjurkan setiap tahun kerana ia akan mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam kalangan warga kementerian itu.

Justeru, katanya, majlis rumah terbuka sempena perayaan Hari Raya dan perayaan lain adalah platform untuk rakyat, khususnya para penjawat awam, menilai tahap prestasi dan pencapaian masing-masing serta berusaha membaiki kelemahan agar mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat berbilang kaum di kawasan luar bandar di negeri ini.

“Ekspektasi rakyat yang tinggi adalah cabaran kepada para penjawat awam agar meningkatkan kecekapan, ketelusan dan mempunyai integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Para penjawat awam yang juga pelaksana dasar-dasar dan program-program pembangunan luar bandar itu perlu ceria dan sentiasa berfikiran positif agar dapat menghasilkan perkhidmatan terbaik. Ada masanya kita serius dan ada masanya juga kita santai, namun apa yang penting ialah hasil kerja kita itu harus baik,” katanya.

Beliau berkata, para penjawat awam yang sentiasa melaksanakan tanggungjawab dan tugas mereka dengan perasaan ceria dan fikiran yang tenang akan lebih produktif dan mampu berkhidmat dengan baik dan cemerlang.

Beliau berharap para penjawat awam di kementerian itu serta mereka yang berkhidmat di daerah-daerah di negeri ini sentiasa berfikiran positif dan komited untuk meningkatkan prestasi kerja serta perkhidmatan masing-masing demi kejayaan program pembangunan luar bandar.

Advertisement