Anda di sini

DBKK bertindak tegas bawa kes kutu sampah ke mahkamah

Advertisement
 Kerja mengutip sampah masih giat dijalankan oleh penduduk kampung di kawasan lapang berhampiran rumah mereka di Kampung Sembulan.

SANGAT KOTOR: Kerja mengutip sampah masih giat dijalankan oleh penduduk kampung di kawasan lapang berhampiran rumah mereka di Kampung Sembulan.

KOTA KINABALU: Buat pertama kali sejak Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap Bandaraya Kota Kinabalu diperkenalkan pada 2005, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan tegas dengan membawa lima kes ke mahkamah, kelmarin.

Lima kes membabitkan lima pemilik kediaman Kampung Sembulan dibawa ke mahkamah selepas beberapa siri gotong-royong diadakan namun, tahap kebersihan di kawasan perkampungan atas air itu didapati masih kotor.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKK Abd Mukti Muchlish dalam satu kenyataan memberitahu bahawa kelmarin adalah kali pertama DBKK membawa ke mahkamah kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 3(a), Undang-undang Kecil Anti Sampah Sarap Bandaraya Kota Kinabalu 2005.

Undang-undang itu, katanya, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 dan bagi kesalahan lanjutan boleh dikenakan denda sebanyak RM500 pada setiap hari kesalahan itu diteruskan, dan boleh dibayar di bawah peruntukan Undang-undang Kecil 8, Undang-undang Kecil yang sama.

Katanya semasa pemantauan dilakukan di kelima-lima rumah terbabit, yang mana pemiliknya dihadapkan ke mahkamah kelmarin, DBKK mendapati terdapat beberapa rumah lain kotor.

Untuk itu, DBKK akan mengeluarkan lebih tiga notis saman baharu kepada pemilik rumah yang kawasannya didapati kotor.

“Kes di Sembulan ini dikategorikan sebagai kes yang tenat kerana setelah beberapa siri gorong-royong dijalankan, kawasan di perkampungan itu masih kotor.

“Malah, DBKK ada menganjurkan pertandingan kebersihan pada tahun lalu dan ia menelan belanja berpuluh ribu ringgit tetapi keadaan kebersihan masih lagi tidak memuaskan. Pada Sabtu lalu, kita mengambil pendekatan menganjurkan gotong-royong besar-besaran dan selepas itu, mana-mana kawasan rumah yang masih kotor, kita terus saman di mahkamah.

“Selepas dibawa ke mahkamah, ia terpulang kepada mahkamah menentukan jumlah denda yang perlu dibayar oleh pemilik rumah yang gagal pastikan kawasannya bersih,” katanya.

Ditanya mengenai keberkesanan kompaun yang dikenakan selama ini, Abd Mukti berkata kompaun yang dikenakan boleh mencecah RM500 setiap kesalahan dan setiap hari jika keadaan kebersihan masih tidak memuaskan.

Kali ini, pendekatan baharu diambil yang mana, kesalahan seperti itu akan terus dibawa ke mahkamah bagi memastikan keberkesanan dalam pelaksanaan undang-undang. Ia kerana kompaun hanya berkesan kepada orang yang sayangkan wang ringgit, kesihatan dan alam sekitar sahaja.

 

 

Advertisement