Apabila kanser cepat dikesan, pencegahan awal dapat dilaksanakan
KOTA KINABALU: Ujian darah yang dikenali Circulating Tumor Cell (CTC) bertindak membantu para pengamal perubatan khususnya pakar onkologi untuk menilai prognisis pesakit kanser.
Pakar Perunding Obstetrik dan Sakit Puan Datuk Dr Selvam Rengasamy berkata, kaedah itu dicadangkan untuk kegunaan para pengamal perubatan bagi mengenal pasti sampel darah sekali gus mengesan jumlah stem sel kanser yang mengalir dalam darah pesakit.
“Setakat ini, CTC berkesan dalam mengenal pasti sel kanser yang mana ia memberi tanda amaran sekiranya pesakit itu berada pada tahap ketumbuhan stem sel yang menghasilkan pertumbuhan tumor.
“Langkah ini akan mampu mengesan pesakit kanser dengan awal dan dapat memberi kesedaran tentang pencegahan awal seperti menukar gaya hidup, mengamalkan diet serta mengambil vitamin yang diperlukan dalam badan,” katanya ketika ditemui pada ceramah kesihatan mengenai Circulating Tumour Cell (CTC), petanda awal kanser, pengurusan pemantauan kanser dan ujian sensitiviti, di sini Sabtu lepas.
Selvam yang juga presiden Persatuan Kemajuan Hormon dan Ubat-Ubatan yang sihat (Sahamm) berkata cara itu bukanlah untuk membelakangkan kaedah perubatan kemoterapi ataupun kaedah konvensional yang lain, namun kaedah sedemikian masih kurang menunjukkan hasil yang memuaskan.
Bahkan katanya, penggunaan kaedah yang baharu itu dilihat mampu meningkatkan hasil rawatan serta dapat mengenal pasti penyebab utama pertumbuhan tumor yang ada pada pesakit secara keseluruhan.
“Memang benar, cara ini tidaklah membuatkan badan pesakit itu sihat sepenuhnya tetapi kita harus menyedari bahawa kita perlu mencari langkah awal yang berkesan…jika kita menggunakan kemoterapi, ia secara tidak langsung membunuh sel badan yang sihat juga.
“Sehubungan itu, kita perlukan kempen kesedaran sebegini untuk mendidik para pengamal perubatan bersama-sama membantu mengesan punca utama kanser, sekali gus membantu pesakit untuk mengurangkan sel tumor dalam badan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Selvam berkata punca utama kanser adalah disebabkan pengambilan gula secara berlebihan daripada jumlah yang sepatutnya diperlukan oleh badan manusia.
Katanya sekiranya seseorang itu terus mengamalkan gaya hidup sedemikian, maka pertumbuhan sel kanser akan semakin cepat merebak dan sukar untuk dikawal.
Beliau berkata amalan pemakanan yang tidak seimbang juga mengakibatkan tahap gula dalam darah meningkat dan seterusnya menyebabkan keradangan kronik yang tidak baik untuk semua sel badan manusia.
“Malah, ia akan bertindak menghasilkan banyak radikal bebas seperti racun yang mampu merosakkan sel DNA kita sehingga menyebabkan organ badan kita sukar berfungsi dengan baik.
“Justeru, kita cuba turun padang mengadakan seminar kesihatan sebegini bagi menimbulkan kesedaran kepada masyarakat amnya, termasuklah para pengamal perubatan untuk sama-sama mencari alternatif terbaik dengan mengesan dari awal punca sel kanser merebak dengan cepat,” katanya.