Khairy yakin temasya SUKMA medan lahir ramai atlet ke Sukan SEA 2017
KUCHING: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yakin temasya Sukan Malaysia (SUKMA VXIII) di sini dapat melahirkan ramai atlet berpotensi mewakili negara pada Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur tahun depan.
Menurutnya, berdasarkan prestasi cemerlang banyak rekod kebangsaan atau SUKMA dipecahkan seperti dalam acara renang dan memanah.
“Ini menunjukkan prestasi atlet-atlet pelapis kita sedang meningkat. Maka, kita hendak pastikan atlet-atlet ini dapat dikenal pasti untuk mewakili negara bagi Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan.
“Mungkin atlet-atlet yang lahir pada SUKMA Sarawak 2016 ini menang pingat pada Sukan SEA seterusnya peringkat Komanwel dan Olimpik,” katanya pada sidang media di Pusat Akuatik Sarawak, Petra Jaya di sini semalam.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi SUKMA XVIII Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian.
Khairy berkata, prestasi sukan juga memuaskan setakat ini melibatkan 1,455 atlet atau 33 peratus terdiri atlet-atlet di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) dan selebihnya peringkat negeri.
Selain itu, setakat ini tidak ada apa-apa protes dari segi teknikal direkodkan melibatkan pertindihan pendaftaran atlet seperti sering berlaku pada SUKMA lalu.
Khairy menyifatkan penganjuran SUKMA XVIII berjalan dengan lancar terutama majlis perasmian malam kelmarin dihadiri kira-kira 45,000 orang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
“Saya yakin majlis perasmian SUKMA XVIII ini adalah paling cemerlang dalam sejarah penganjuran SUKMA,” katanya.
Beliau turut berpuas hati dengan tahap persiapan dari segi tempat pertandingan, perkampungan sukan dan khidmat sokongan seperti keselamatan, makanan, pengangkutan dan lain-lain.
“Saya melihat semua berjalan lancar, tidak ada masalah besar setakat ini di mana tidak ada kes keracunan makanan serta segala persiapan penginapan adalah baik.
“Saya berharap kita dapat mengekalkan prestasi penganjuran ini sehingga 31 Julai nanti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu penyertaan atlet-atlet kebangsaan pada SUKMA tidak akan dikurangkan bagi penanda aras sukan berprestij itu.
“Bagi saya, walaupun kita tidak menggalakkan ramai atlet kebangsaan tetapi kita perlu ada atlet-atlet pelapis kebangsaan yang masih terlibat pada SUKMA kerana kita mahu ada penanda aras tinggi untuk SUKMA.
“Jika atlet-atlet kebangsaan tidak dibenarkan langsung maksudnya penanda aras bagi atlet-atlet mewakili negeri tidak ada,” katanya.
Bagaimanapun, Khairy menjelaskan atlet-atlet kebangsaan terbabit harus masih pada usia layak bertanding pada SUKMA iaitu 21 tahun ke bawah.
Selain itu, katanya terdapat juga kuota bagi penyertaan atlet-atlet kebangsaan dalam sesuatu acara misalnya berpasukan.