Anda di sini

Pewartaan Taman Marin Tun Mustapha beri impak besar

Advertisement

Industri pelancongan dan akuakultur mendapat manfaat

KUDAT: Pewartaan Taman Tun Mustapha sebagai kawasan perlindungan marin terbesar di rantau ini, diharap berupaya memberi impak besar kepada Sabah daripada aspek industri pelancongan dan akuakultur, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata kejayaan pewartaan taman itu, meliputi kawasan perairan seluas 898,762.76 hektar melibatkan tiga daerah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas, bukan sahaja membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara alam sekitar Sabah, bahkan merupakan terjemahan kesungguhan dalam memajukan sosioekonomi rakyat.

Sehubungan itu, Musa berharap pengurusan mapan biodiversiti marin di perairan Sabah terutama di Kudat, Pitas dan Kota Marudu akan dapat diwujudkan menerusi pewartaan itu dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Tabung Alam Sedunia (WWF), Jabatan Perikanan Sabah, Persatuan Nelayan dan masyarakat setempat.

“Dengan perwartaan ini juga, sudah pasti komitmen Malaysia dalam Konvensyen Kepelbagaian Biologi, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CBD-UNEP), untuk melindungi sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kawasan pesisir pantai dan marin sebelum tahun 2020 akan tercapai,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Taman Tun Mustapha, di sini semalam.

Taman Tun Mustapha yang diisytiharkan sebagai taman marin di bawah Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 (pindaan 2007) pada 19 Mei lepas adalah taman kesembilan dalam pengurusan Taman-Taman Sabah. Ia merupakan taman marin terbesar di Sabah sekali gus di Malaysia.

Usaha pewartaan sudah bermula sejak 2003 apabila kerajaan negeri meluluskan cadangan mewartakan taman itu sebagai kawasan yang dilindungi dan diurus secara lebih sistematik.

Musa berkata ini merupakan satu lagi kebanggaan buat seluruh rakyat Sabah khususnya di kawasan terbabit dan berharap keseimbangan biodiversiti dan sosioekonomi boleh dicapai dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Wilayah Utara Negeri Sabah yang memberi fokus kepada sektor pelancongan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata perwartaan tersebut adalah satu kejayaan dan sejarah baharu untuk Sabah dan sekali gus amanah besar diberikan kepada kementeriannya bagi memastikan kelestarian taman marin berkenaan dilakukan dengan lebih cekap.

Beliau berkata matlamat dan harapan penubuhan taman itu adalah untuk memulihara kepelbagaian hidupan marin serta pesisir pantai, dan dalam masa sama menambah baik industri perikanan agar lebih mapan bagi faedah komuniti setempat termasuk membuka lebih banyak peluang industri pelancongan di Sabah.

“Sabah mementingkan pemuliharaan, kami mahu memastikan terdapat keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pemuliharaan. Kami mahu melabur demi untuk generasi akan datang di Sabah,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian itu, Masidi berkata enam taman marin di bawah jagaan Taman-Taman Sabah akan dijadikan sebagai santuari  ikan yu sebagai usaha kerajaan negeri melindungi spesies terancam itu sekali gus memastikan populasi ikan yu di negeri ini terus dipelihara.

Bagaimanapun, katanya usaha berkenaan akan dilakukan secara berperingkat dan dimulakan dengan proses memberi pendidikan kepada penduduk tempatan agar memahami sepenuhnya tujuan santuari ikan yu.

Pada majlis itu, Musa turut merasmikan Festival Kudat 2016 bertemakan ‘Kudat Sememangnya Hebat’ yang diadakan bersempena Tahun Melawat Kudat 2016-2017.

Turut hadir Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Kapor, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan beberapa menteri Kabinet negeri. — Bernama

Advertisement