Anda di sini

KK mencatat 430 kes tibi sehingga bulan Jun 2016

Advertisement

KOTA KINABALU: Sehingga bulan Jun tahun ini, Kota Kinabalu catat 430 kes batuk kering (tibi).

Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu Dr. Roy Martin Daya berkata, daripada 430 kes itu melibatkan pelbagai peringkat umur yang disahkan menghidap penyakit tibi.

“Sepanjang tahun ini sahaja, sehingga bulan Jun, kami telah merekaodkan sebanyak 430 kes penyakit tibi di Kota Kinabalu.

“Kes yang kita rekodkan ini adalah daripada pelbagai peringkat umur termasuklah kanak-kanak yang masih bersekolah.

“Tetapi, kebanyakannya adalah kes-kes orang dewasa,” katanya ketika Seminar Batuk Kering (Tibi) dan Penjagaan Gigi Sepanjang Hayat di Kampung Baru Luyang kelmarin.

Katanya, kebanyakan pesakit pada masa kini masih menerima rawatan dan pemantauan daripada mereka.

Namun, daripada jumlah itu, ada juga mereka yang berhenti daripada rawatan yang diberikan.

Roy berkata, pihak mereka akan menjalankan pemantauan kepada golongan yang berisiko tinggi dan mereka yang mempunyai hubungan dengan pesakit tibi bagi mengesan mereka yang dijangkiti penyakit itu.

“Kami menjalankan pemantauan secara aktif iaitu satu program yang dijalankan oleh pejabat kesihatan untuk mengesan kes-kes tibi dalam kalangan yang berisiko tinggi seperti kencing manis atau perokok seumpamanya.

“Golongan kedua adalah mereka yang ada hubungan dengan pesakit tibi seperti rakan sebaya, ahli keluarga dan rakan sekolah.

“Pada masa yang sama juga, pesakit di Jabatan Pesakit Luar juga dijalankan secara aktif sekurang-kurangnya lima peratus daripada pesakit luar disaring untuk pemeriksaan penyakit tibi,” jelasnya.

Selain itu, program seperti Kelab Doktor Muda Sekolah Kebangsaan (SK) Luyang menjadi satu platform untuk membuat saringan penyakit tibi di kawasan kampung.

Sementara itu, Guru Besar SK Luyang Vejayabalan Subramaniam berkata, pihak mereka menjalankan program komuniti yang melibatkan kawasan kampung adalah kerana ramai murid sekolah itu berasal dari kampung berkenaan.

“Kebiasaannya, setiap program Doktor Muda sekolah ini akan dijalankan di sekolah.

“Tahun sebelumnya, kami menjalankan program yang sama di kampung ini dengan tema berbeza iaitu pencegahan denggi.

“Melalui penglibatan dan sokongan yang diberikan oleh pihak kampung ini, program ini sekali lagi dijalankan di sini bagi memberi kesedaran kepada mereka bukan sahaja penyakit denggi tetapi penyakit-penyakit lain,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan tidak akan berhenti setakat itu dan akan diteruskan pada tahun akan datang.

Katanya, mereka akan membuat satu lagi program seumpama itu ‘mobile unite’ untuk menjalankan pemeriksaan penyakit tibi.

Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu Umin Sadi berkata, program yang dijalankan di luar sekolah seumpama itu adalah bagi mendedahkan murid daripada pengetahuan di luar kelas.

“Ini kerana, jika dijalankan di luar sekolah, impak pembelajaran mereka akan lebih tinggi.

“Selain itu, program ini juga adalah untuk membolehkan ibu bapa memberi sokongan kepada anak-anak mereka dalam dunia pembelajaran.

“Sokongan daripada ibu bapa amatlah penting pada pembentukan insaniah murid-murid,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Umin berkata, sokongan yang diberikan daripada ibu bapa adalah satu dorongan pada murid untuk berjaya dalam segala aspek.

Hadir sama, Pegawai Pergigian Kanan Pejabat Pergigian Kawasan Kota Kinabalu Dr Latifah Othman.

Advertisement