Anda di sini

SAMUR beri manfaat besar kepada Sabah

Advertisement

Bakal menjana pertumbuhan industri hiliran dan mewujudkan peluang pekerjaan

KOTA KINABALU: Projek Sabah Ammonia Urea Plant (SAMUR) dilihat tidak hanya menjana pertumbuhan industri hiliran tetapi juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu berasaskan kemahiran tinggi di Sabah.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan, Chang Shui Kiong berkata projek SAMUR juga mampu menjadi pemangkin utama kepada pembangunan industri hiliran di Sabah berasaskan minyak dan gas.

Sehubungan itu, Chang memuji usaha kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman serta Tan, selaku Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan pembangunan projek SAMUR, yang terletak di pesisir pantai Sipitang.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri serta Kementerian Pembangunan Perindustrian berusaha gigih mempromosi dan membangunkan industri hiliran di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Chang berkata sumber asli adalah penting dalam memacu perkembangan industri hiliran di Sabah selain merupakan daya tarikan utama bagi menarik pelaburpelabur domestik dan luar negara untuk terus melabur di negeri ini.

“Jumlah pelaburan diperoleh Sabah pada suku pertama tahun ini telah mencapai angka melebihi RM1.2 bilion, iaitu meletakkan Sabah di posisi teratas mendahului negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor dan negeri lain,” katanya.

Chang berkata proses industrialisasi di Sabah juga berjaya mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu, menyumbang kepada peningkatan pendapatan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. — Bernama

Advertisement