MEMBAKUT: Masalah yang sering dihadapi guru-guru agama di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di negeri ini yang membabitkan soal gaji dan perjawatan akan dibawa ke peringkat tinggi kerajaan negeri.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Arifin Arif berkata isu seperti penyelarasan gaji dan perjawatan itu akan dipanjangkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) untuk tindakan selanjutnya.
“Kita akan berusaha menyelesaikan masalah ini. Saya difahamkan ada di antara mereka telah berkhidmat lebih 10 tahun, namun gaji dan perjawatan masih di tahap lama.
“Begitu juga dengan isu tunggakan gaji. Namun apa pun masalahnya, kita akan terus memperjuangkan isu-isu berbangkit yang disuarakan mereka kepada pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Bersama Guru-Guru JHEAINS di Dewan Serbaguna Pekan Membakut.
Dalam perkembangan berkaitan, Arifin yang juga ADUN Membakut meminta kerajaan mempertimbangkan permohonannya untuk menambah bilangan guru agama di negeri ini.
Menurut beliau sebanyak 275 guru agama diperlukan dan pihaknya sudah membuat permohonan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.
“Kita amat memerlukan penambahan ini kerana setakat ini hanya terdapat sekitar 700 lebih guru agama di seluruh Sabah.
“Saya amat berharap permohanan ini dapat ditunaikan kerana buat masa ini sebilangan guru yang ada merupakan guru zakat, guru KAFA serta golongan pendakwah, di samping guru JHEAINS itu sendiri.
“Mudah-mudahan kerajaan dapat melihat perkara ini memandangkan terdapat permintaan terhadap keperluan itu di negeri ini,” katanya.