Anda di sini

Gambar bangkai ikan yu viral bukan spesies terancam

Advertisement
 Gambar ini antara yang kontroversi dan viral di media sosial serta mengundang dakwaan kononnya berlaku ‘shark finning’ di Mabul.

KONTROVERSI: Gambar ini antara yang kontroversi dan viral di media sosial serta mengundang dakwaan kononnya berlaku ‘shark finning’ di Mabul.

SEMPORNA: Penyebaran gambar sejumlah bangkai ikan yu yang dimuat naik di media sosial dan menjadi viral disahkan dirakam dari kawasan perairan Pulau Mabul di sini.

Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bulah bagaimanapun berkata, ikan-ikan yang terlibat tidak membabitkan spesies ikan terancam yang didaratkan di pulau berkenaan.

“Tiada spesies yang tersenarai dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 (Pindaan 2008), Akta Perikanan 1985 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 (Akta 686), didaratkan di Pulau Mabul.

“Mengikut laporan hasil siasatan Jabatan Perikanan Semporna, kejadian itu dipercayai berlaku seminggu yang lalu,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Chacho berkata merujuk laporan yang diberikan jabatan terbabit kepada pihaknya juga menunjukkan dakwaan wujud aktiviti ‘shark finning’ di Mabul sebagai tidak benar.

Menurutnya, siasatan Jabatan Perikanan mendapati semua ikan yu yang tertangkap dibawa balik lengkap dengan sirip dan tiada badan ikan yu yang dibuang ke dalam laut.

“Kita dimaklumkan ikan yu bukanlah spesies sasaran utama nelayan tetapi sampingan dan kebiasaannya ditangkap secara tidak sengaja bersama spesies ikan komersil,” katanya.

Beliau berkata ikan-ikan dipotong di Mabul untuk pendaratan ikan sebelum dimasukkan ke dalam tong ikan dan dibawa ke tanah besar Semporna.

“Ikan yu yang dibawa balik ke Mabul akan direndam dan dibersihkan sementara menunggu proses pemotongan dijalankan, menggunakan air laut semasa air pasang.

“Kebiasaannya, nelayan mengambil isi ikan yu untuk membuat ‘siagol’ (sejenis makanan masyarakat tempatan – isi ikan yu dimasak dengan lada dan kunyit),” katanya.

Chacho berkata, seramai 67 nelayan berlesen di Mabul menggunakan peralatan pancing dan rawai namun tidak menjadikan ikan yu sebagai sasaran utama.

Menyentuh hal berkaitan, Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata siasatan sedang dijalankan namun sehingga kini belum ada laporan diterima pihaknya.

Advertisement