Anda di sini

Kemudahan asas luar bandar jadi keutamaan kerajaan: Ronald

Advertisement

 Ronald (tengah) bergambar bersama penduduk kampung pada Majlis Bersama Rakyat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Tampat, Paitan.

DIUTAMAKAN: Ronald (tengah) bergambar bersama penduduk kampung pada Majlis Bersama Rakyat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Tampat, Paitan.

BELURAN: Penambahbaikan penyediaan kemudahan infrastruktur asas untuk rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar terus menjadi keutamaan dan cabaran bagi kerajaan.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan sentiasa mengambil kira akses kepada infrastruktur asas yang merupakan hak asasi semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.

Katanya, kemudahan infrastruktur jalan raya, perumahan, bekalan elektrik dan air adalah penting untuk kesihatan serta perkembangan sosiobudaya rakyat dan menjadi sebahagian daripada asas utama kesejahteraan ekonomi negara.

“Keutamaan akses kepada infrastruktur asas di kawasan luar bandar membolehkan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, memudahkan aktiviti ekonomi.

“Sebagai contoh, hubungan jalan raya memudahkan perdagangan dan perniagaan kerana ia membolehkan pergerakan barangan dan perkhidmatan yang lebih bebas, manakala ketersediaan bekalan elektrik dan air amat perlu bagi kebanyakan jenis aktiviti perindustrian, serta mempunyai kesan langsung terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bersama Rakyat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Tampat, Paitan di sini kelmarin. Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Beluran Samad Jambri.

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata sejajar dengan tumpuan itu, peruntukan lebih RM10 bilion yang disediakan untuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menerusi Bajet 2016 mampu meningkatkan pembangunan infrastruktur, bidang keusahawanan dan latihan kerjaya untuk masyarakat luar bandar.

Katanya, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion bagi membina dan menaiktaraf jalan luar bandar meliputi 700 kilometer.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan terus menumpukan pembangunan luar bandar terutama bagi mengurangkan jurang perbezaan pembangunan antara bandar dengan luar bandar.

Dalam perkembangan lain, Ronald berkata kerjasama erat antara semua lapisan kepimpinan di akar umbi akan memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, perbalahan dalam pembangkang dan pengwujudan begitu banyak parti politik baharu akan memberi kelebihan kepada kerajaan.

Menurutnya apa yang penting adalah semua ahli parti komponen BN terus bersatu khususnya dalam menangkis cubaan pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan perpaduan dalam parti.

 

 

Advertisement