Anda di sini

Usaha memupuk generasi berkualiti perlu berterusan

Advertisement

NABAWAN: Arus pemodenan dan kecanggihan teknologi maklumat pada masa ini telah membawa impak ketara terhadap struktur sosial dan institusi keluarga masa kini.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Bobbey A. Suan berkata, ia cabaran yang perlu ditempuh juga amat pelbagai dan kompleks.

Katanya,  institusi keluarga terutamanya yang rapuh begitu terdedah kepada pelbagai gejala sosial yang boleh meruntuhkan akhlak generasi muda dan mengancam kualiti kehidupan mereka.

“Justeru itu, usaha memupuk generasi yang mapan dan berkualiti perlu dilakukan secara berterusan dan usaha ini seharusnya bermula di rumah di mana semua anggota keluarga, jiran tetangga dan anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Keluarga Ahli-ahli Yayasan Usaha Maju (YUM) Cawangan Nabawan yang berlangsung di Kelab Belia, di sini pada Khamis.

Pada majlis itu Pusat YUM  Kg. Salarom Baru mengekalkan kedudukan  pusat terbaik dua kali berturut-turut manakala  Ketua Pusat YUM  terbaik dianugerahkan kepada Tujuh Guna dari Pusat YUM Kg. Lumintak.

Bobbey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan berkata, pertumbuhan  atau kekuatan ekonomi bukanlah satu-satunya ukuran kepada kejayaan.

“Kita tidak boleh berbangga dengan kejayaan sekiranya berlaku kepincangan sosial dalam persekitaran keluarga. Ini kerana kejayaan ekonomi juga mesti seiring dengan kemajuan-kemajuan yang lain,”  jelasnya.

Sehubungan dengan ini Bobbey menggesa ahli-ahli YUM di mana saja mereka berada agar terus menyumbang bakti dan sentiasa bersedia untuk menghadapi  segala bentuk cabaran sambil menggunakan sepenuhnya peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan.

Hadir sama Pengarah Urusan Yayasan  Usaha Maju Freddy Rantau, Penolong Pegawai Daerah Djamiludin Kamarudin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan Jubilin Kilan, Pengerusi Jawatankuasa Ketua Pusat YUM Cawangan Nabawan Puan Florence @ Faridah Ambiang, Pengurus YUM Cawangan Nabawan Maning Ambikin, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Advertisement