Anda di sini

Lapan PATI ditahan, 19,000 telur penyu dirampas

Advertisement

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya merampas 19,000 telur penyu bernilai RM30,000 dan menahan lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Operasi Khas di Perairan Sungai Batu 2,  di sini awal pagi kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan telur penyu, PPM Sandakan telah melancarkan Operasi Khas ke atas maklumat berkenaan.

“Dengan menggunakan tiga buah bot ronda PPM Sandakan telah membuat intipan di kawasan perairan Sungai Batu 2,” katanya.

Katanya, kira-kira jam 1.30 pagi, bot ronda PPM telah mengesan pergerakan empat bot pam yang mencurigakan memasuki perairan Sungai Batu 2.

“Serbuan telah dibuat ke atas  bot pam berkenaan oleh bot ronda PPM dan berlaku kejar-mengejar selama kira-kira 15 minit sebelum keempat-empat buah bot pam berkenaan berjaya dipintas dan ditahan,” katanya.

Mohamad berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot pam mendapati muatannya adalah telur penyu yang diisi di dalam karung guni bersama beberapa orang PATI.

“Butir-butir tangkapan dan rampasan adalah empat buah bot pam, enjin dan 19 ribu telur penyu,” katanya.

Beliau berkata, turut ditahan empat orang juragan berumur di antara 21 hingga 49 tahun warganegara Filipina, tiada dokumen pengenalan diri.

Selain itu, terdapat seramai lapan orang berusia 17 hingga 63 tahun yang terdiri dari tujuh orang lelaki dan seorang perempuan ditahan dalam serbuan berkenaan,” katanya.

Katanya, ini merupakan rampasan telur penyu yang pertama pada tahun ini dan merupakan rampasan terbesar setakat ini.

“Anggaran nilai jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM41,250 termasuk enjin serta bot (RM10,850) dan telur penyu (RM 30,400),” katanya.

Mohamad berkata, semua rampasan dan PATI yang ditahan dibawa balik ke pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

Advertisement