KOTA KINABALU: Ekoran harga minyak sawit mentah tidak menentu, Kumpulan Sawit Kinabalu yakin harga minyak akan kembali stabil.
Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Othman Walat berkata, harga minyak sawit mentah kini menurun dan akan kembali stabil sekali gus memperbaiki pendapatan anak syarikat kerajaan itu.
“Harga minyak sawit mentah pada ketika ini agak tidak menentu ekoran keadaan ekonomi dunia yang tidak kondusif.
“Jelas sekali pergerakan ekonomi sekarang perlahan dan ini sedikit sebanyak mempengaruhi harga minyak sawit mentah termasuk di Sabah.
“Namun, kita berharap keadaan ini akan kembali pulih seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Sawit Kinabalu kelmarin.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman dan isteri sebagai tetamu kehormat.
Othman berkata, berikutan iklim panas yang melanda negara awal beberapa bulan lalu, pengeluaran sawit di negeri ini juga agak terjejas.
“Namun, keadaan cuaca kini semakin pulih dan ini merupakan petanda baik untuk industri sawit Sabah.
“Ini kerana, hasil pengeluaran dan harga minyak sawit merupakan penanda aras kedudukan terkini industri sawit,” jelasnya.