Anda di sini

APMM rancang stesen udara di Labuan perkukuh keselamatan

Advertisement
 Puzi (tengah) dan Chong (tiga kiri) merakam gambar kenangan bersama empat anggota Maritim yang berjaya menamatkan Kursus Penerbangan Helikopter siri lima di akademi berkenaan, kelmarin.

PENUHI KEPERLUAN: Puzi (tengah) dan Chong (tiga kiri) merakam gambar kenangan bersama empat anggota Maritim yang berjaya menamatkan Kursus Penerbangan Helikopter siri lima di akademi berkenaan, kelmarin.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merancang untuk mewujudkan stesen udara di Labuan dalam masa terdekat ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata ia sudah dalam proses rundingan mendapatkan sebidang tanah untuk membina stesen berkenaan yang bukan hanya memenuhi keperluan helikopter, tetapi turut digunakan oleh pesawat lain.

“Walaupun begitu, perancangan ini bergantung kepada bajet yang diperuntukkan oleh kerajaan yang sememangnya sentiasa meletakkan Sabah sebagai satu keutamaan.

“Usaha ini juga telah dipersetujui bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan kita sudah buat permohonan selanjutnya serta hanya menungggu peruntukan untuk memulakan pembinaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kursus Penerbangan Helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Siri 05/2016 di sini kelmarin.

Selain itu, Puzi berkata pihaknya kini memiliki enam helikopter serta dua pesawat dan berhasrat untuk menambah jumlah aset Maritim Malaysia khususnya melibatkan pesawat bagi membuat persediaan awal untuk perancangan pada masa hadapan.

Sehubungan itu katanya, persediaan awal menyediakan tenaga kerja perlu ada, terutamanya dalam menyediakan latihan industri juruterbang berorentasikan tempatan yang perlu mendapat sokongan daripada semua pihak.

“Bahkan, usaha ini juga memerlukan kerjasaama agensi lain yang mampu melatih anak-anak tempatan kita.. ini bukan hanya dapat mengurangkan kos tetapi turut membawa akademi latihan kita kepada tahap yang lebih tinggi tanpa perlu ke luar negara,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata peranan pelapis juruterbang helikopter yang baharu dan memiliki berkemahiran tinggi amat penting serta diperlukan di negeri ini untuk keperluan jangka masa panjang.

Justeru, beliau percaya bahawa Akademi Helikopter Layang-Layang Sdn Bhd sememangnya mampu melahirkan juruterbang yang profesional dan berpengalaman terbaik dalam mencari pelapis yang diperlukan.

Seramai empat anggota Maritim Malaysia berjaya menamatkan kursus penerbangan helikopter siri lima anjuran Akademi Helikopter Layang-Layang  pada majlis berkenaan.

Hadir sama Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som dan Pengetua Akademi Helikopter Layang-Layang Sdn Bhd Colonel Chong.

Advertisement