Anda di sini

Jangan sebar maklumat jenayah tidak sahih di media sosial: Polis

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis meminta orang ramai agar tidak terlalu ghairah menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berkaitan kes jenayah di media sosial termasuk Facebook.

Sebaliknya Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata masyarakat perlu terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada polis mengenai kesahihan sesuatu maklumat kes jenayah.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sebagai mengulas dakwaan yang disebarkan di Facebook mengenai sebuah kereta jenis Proton Satria Neo berwarna putih yang kononnya digunakan dalam kes jenayah curi bateri kenderaan dan memanjat pagar rumah di kawasan Bandar Sierra, Manggatal, pada Ahad lepas.

Katanya siasatan lanjut mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat berkenaan kes terbabit di kawasan itu pada masa maklumat tersebut tersebar.

Bagaimanapun, Chandra berkata, pihaknya telah menghebahkan maklumat itu di semua kawasan di daerah ini bagi mengesan kenderaan terbabit selepas tersebarnya maklumat berkenaan di Facebook.

Menurutnya, polis telah menahan dan memeriksa kereta itu yang dijumpai di Jalan Kolam, Luyang kira-kira jam 6 petang Selasa lalu, dan hasil pemeriksaan mendapati pemilik kenderaan adalah seorang lelaki tempatan bersama isteri dan anaknya.

Chandra berkata pemilik kereta itu mendakwa membeli kereta tersebut pada Isnin lepas daripada seorang ejen penjual kereta terpakai di Penampang dan pada hari yang sama, menyedari kereta tersebut tersebar di Facebook kononnya terlibat dalam kes jenayah.

“Lelaki itu kemudian membuat laporan polis telah dibuat di Balai Polis Penampang,” katanya. — Bernama

Advertisement