Anda di sini

‘Musang berbulu ayam’ terdedah

Advertisement

Pemuda Libaran bersyukur individu yang khianati UMNO tonjol diri

RIZAN

RIZAN

SANDAKAN: Ketua Pemuda UMNO Libaran Rizan Aziz melahirkan rasa syukur dengan individu yang diibaratkan ‘musang berbulu ayam’ dalam parti UMNO yang akhirnya menonjolkan dirinya yang sebenar.

Katanya, mereka tidak perlukan pemimpin dan juga ahli UMNO yang mementingkan diri sendiri dan berjuang untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata, tindakan bekas Naib Ketua Bahagian Batu Sapi Pg Roslan Pg Nasrun yang memperjuangkan kepentingan peribadi dan mengisytiharkan keluar parti hanya kerana mahu merosakkan perpaduan parti, tetapi tindakan itu akan lebih memperkukuhkan UMNO tanpa individu berkenaan.

“Seperti yang kita tahu bekas naib ketua bahagian Batu Sapi adalah bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau menarik diri dari bertanding semasa PRU, melalui perkhabaran orang ramai beliau menarik diri kerana menjual pencalonannya.

“Beliau kemudiannya menyertai UMNO dan mengisytiharkan keluar parti (pada Ahad lepas). Jadi kita tidak hairan kalau dia keluar parti. Tindakan beliau ini disifatkan bukan pejuang sebenar dalam parti UMNO dan bukan pejuang sebenar rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Roslan yang menyatakan hampir 600 ahli UMNO dari 100 cawangan telah keluar parti, sedangkan yang hadir rata-rata adalah ahli PKR dan UMNO yang terperdaya mengatakan majlis itu untuk jamuan hari raya, di sini kelmarin.

Rizan berkata, ramai rakyat mengandaikan bahawa beliau (Roslan) diibaratkan menjual pencalonannya semasa berada dalam PKR dulu.

Katanya, dalam pemilihan UMNO Bahagian Batu Sapi lepas, Roslan menang atas bantuan Datuk Samsudin Yahya selaku ketua bahagian serta rata-rata ketua cawangan memberi mandat kepada beliau selaku naib ketua bahagian sebagai pemimpin pelapis tetapi akhirnya mengkhianati kepercayaan dan sokongan ahli UMNO.

Beliau menegaskan ia memperlihatkan Roslan ibarat kacang lupakan kulit yang mementingkan kepentingan individu dan diri sendiri.

“Kita tidak terkejut dengan tindakan dia (Roslan) keluar parti UMNO. Apa yang berlaku kepada Datuk Seri Mohd Shafie Afdal adalah hak peribadi beliau.

“Beliau (Shafie) dari anak nelayan sehingga menjadi menteri adalah hasil perjuangan UMNO. Jasa dan pembangunan yang dibawanya adalah hasil daripada UMNO semasa memegang portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar,” katanya.

Justeru, Rizan menegaskan kepada ahli UMNO terutama kalangan orang muda supaya jangan terikut-ikut dengan perjuangan individu.

“Kita perlu berdiri teguh dengan perjuangan asal kita untuk membela rakyat. Matlamat perjuangan asal kita adalah demi agama, bangsa dan negara. Kita sebagai pejuang sejati dalam UMNO perlu meneruskan perjuangan sehingga akhir hayat,” katanya.

Rizan menegaskan hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu membela rakyat.

“Pemuda UMNO Libaran akan terus kekal memberi sokongan padu dan berdiri di belakang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO.

“Kami juga berikrar akan terus setia kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran,” katanya.

Advertisement