Anda di sini

Jangan terpengaruh sebarang gerakan memudaratkan keselamatan: Jamawi

Advertisement
 Jamawi bergambar kenangan dengan sebahagian pelajar dari luar negara yang mengambil kesempatan berkunjung ke rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya.

TETAMU: Jamawi bergambar kenangan dengan sebahagian pelajar dari luar negara yang mengambil kesempatan berkunjung ke rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya.

TENOM: Generasi muda diingatkan agar tidak mudah dipengaruhi pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menggunakan golongan muda untuk menyertai sebarang gerakan dan fahaman yang boleh memudaratkan keselamatan negara.

Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar berkata, di negara ini walaupun hanya sebilangan kecil golongan muda yang terjebak menyertai gerakan kumpulan tertentu untuk mengganggu-gugat keselamatan dan keharmonian yang wujud, namun jika tidak dibendung gejala itu akan berkembang dan sukar dikawal.

Katanya, golongan muda seharusnya sedar bahawa keamanan yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin yang berani mempertahankan negara dari sebarang ancaman, ia termasuk mengambil langkah kawalan keselamatan yang terbaik.

“Kita bersyukur kerana negara kita mempunyai tahap keselamatan yang sentiasa terkawal dan jangan ada pihak yang cuba membawa golongan muda ini untuk menyertai mana-mana kumpulan haram yang mahu mengancam keselamatan negara.

“Sewajarnya, golongan muda hari bersama berjuang mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Kampung Jawa Sumbiling, di sini pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau yakin situasi politik semasa negara yang membabitkan pemimpin yang meninggalkan parti kerana tindakan disiplin parti tidak akan melemahkan kerajaan sedia ada yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

Jamawi yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia berkata, tindakan segelintir pemimpin yang keluar parti kerana kecewa dengan tindakan disiplin adalah perkara biasa dan rakyat harus menilai hala tuju pemimpin yang berjuang untuk mencapai agenda politik peribadi dan membawa sentimen kurang sihat yang akhirnya merugikan negara dan rakyat.

“Pemimpin politik datang dan pergi, maka tindakan segelintir ahli parti bertindak meninggal kesetiaan kepada parti adalah hak individu dan itu tidak membawa kepada suara majoriti rakyat tetapi lebih kepada bersifat peribadi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi menyifatkan pemimpin UMNO yang sudah meninggalkan parti sebagai pemimpin yang kecewa apabila tidak mencapai cita-cita politik mereka.

Jelasnya dalam sejarah politik UMNO, tindakan seumpama itu oleh segelintir pemimpin UMNO sudah berlaku sejak dahulu lagi yang membabitkan orang besar dalam UMNO, tetapi UMNO tetap kukuh sehingga hari ini.

Katanya, UMNO tetap kukuh bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) yang terus sepakat dan berjuang untuk rakyat.

“Pemimpin pembangkang tidak pernah sepakat, bergaduh kerana inginkan jawatan dan sebagainya, maka rakyat boleh menilai jika pemimpin sebegini diberi ruang sudah tentu akan merugikan negara dan rakyat, termasuk ancaman keselamatan jika pemimpin terus bersekongkol dengan kumpulan tertentu yang mahu mengucar-kacirkan negara,” katanya.

Hadir sama, Senator Datuk Lukas Umbol, pemimpin masyarakat, kapitan Cina, ketua jabatan negeri dan persekutuan serta masyarakat pelbagai kaum dan pelancong dalam dan luar negara.

Advertisement