Anda di sini

Pasukan keselamatan sentiasa ambil berat ketenteraman negara

Advertisement

KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan sentiasa mengambil berat akan keselamatan dan ketenteraman negara walaupun pada musim perayaan.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Paririn Kitingan berkata, bukan setakat pada perayaan Aidilfitri sahaja tetapi juga pada setiap perayaan yang disambut di negara ini.

“Ini adalah satu perkara yang menjadi kebiasaan sempena musim perayaan dan ia menunjukkan keprihatinan pasukan keselamatan terhadap negara.

“Ia menunjukkan pasukan keselamatan sentiasa ada dan mengambil berat akan keselamatan serta ketenteraman di dalam negara kita sepanjang masa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS), di sini kelmarin.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin serta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Pairin yang juga presiden PBS berkata apabila pasukan keselamatan menjalankan kewajipan, mereka boleh membawa keadaan yang menenangkan.

“Pada masa pasukan keselamatan mengadakan kawalan yang kerap, tentu sekali akan mewujudkan satu keadaan yang menenangkan kerana itu sudah menjadi kewajipan mereka.

“Biasanya mereka tidak menonjol, namun kadangkala perlu juga ada penonjolan dalam tugas mereka agar apa yang mereka lakukan itu dapat dilihat oleh rakyat,” katanya.

Katanya, masyarakat perlu berterima kasih kepada pasukan keselamatan kerana walaupun pada musim perayaan, mereka tetap menjalankan tanggungjawab di tempat-tempat yang diperlukan, sama ada di persekitaran lapangan terbang mahu pun sempadan dan pulau-pulau.

 

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Musa turut menyampaikan duit raya kepada kira-kira 40 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Tambunan dan As-Sakinah Papar.

Dalam pada itu, Pairin menyifatkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PBS yang diadakan di Dewan Serbaguna Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah itu mampu meningkatkan perpaduan di Sabah dengan penglibatan pelbagai kaum dan agama.

“Hari raya membawa suasana mesra yang menjurus kepada peningkatan persaudaraan dan silaturahim kepada semua rakyat Malaysia terutama sekali di Sabah ini,” katanya.

Advertisement