Anda di sini

Lapor segera perkara yang mencurigakan

Advertisement
 Musa (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain pada majlis rumah terbuka beberapa kenamaan di Kota Kinabalu, kelmarin.

BERI KERJASAMA: Musa (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain pada majlis rumah terbuka beberapa kenamaan di Kota Kinabalu, kelmarin.

Beri kerjasama kepada pasukan keselamatan membanteras kegiatan keganasan: Musa

PAPAR: Rakyat Sabah perlu sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam usaha menjaga keamanan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata walaupun kegiatan keganasan belum lagi sampai di Sabah tetapi semua pihak perlu bekerjasama untuk tidak membenarkan perkara itu terjadi.

“Kerjasama daripada semua pihak adalah penting dalam usaha kita menjaga keselamatan di Sabah.

“Dari awal lagi, kita telah meminta pihak keselamatan supaya sentiasa bersiap sedia agar tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, ADUN Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan ADUN Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail, di sini kelmarin.

Beliau berkata, sekiranya ternampak sebarang perkara yang mencurigakan dan boleh mengancam keamanan, masyarakat harus segera melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Musa menjelaskan bahawa rumah terbuka yang diadakan itu adalah satu pendekatan bagi semua rakyat di Sabah untuk mengeratkan perpaduan dan hubungan di antara satu sama lain.

“Dengan perasaan kekitaan dan kekeluargaan, sudah pasti kita akan mampu mentadbir negeri ini dengan lebih baik.

“Kedatangan masyarakat daripada pelbagai suku kaum di rumah terbuka ini menunjukkan wujudnya kemesraan antara kita di Sabah,” katanya.

Musa turut menjelaskan bahawa lawatan beliau ke rumah-rumah terbuka pemimpin di Sabah adalah rutin tahunan yang dilakukan untuk bermesra dengan pemimpin dan juga bertemu dengan rakyat.

Advertisement