Anda di sini

Hari Raya Aidilfitri jambatan untuk mempertingkatkan perpaduan

Advertisement

SANDAKAN: Sambutan Hari Raya Aidilfitri perlu dijadikan sebagai jambatan untuk mempertingkatkan hubungan dan perpaduan antara semua kaum dan pelbagai agama di negeri ini.

Aidilfitri perlu disambut dalam semangat yang menyuburkan budaya bangsa dengan mengunjungi anggota keluarga, ziarah-menziarahi, mengeratkan silaturahim serta bermaaf-maafan.

Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Kolonel (K)

Datuk Juhari Janan berkata Aidilfitri hendaklah disambut dalam semangat yang memenuhi tuntutan agama dengan bersedekah, menghulurkan bantuan kepada fakir miskin, melimpahkan kasih sayang kepada anak-anak yatim serta menunaikan zakat dan zakat fitrah.

Beliau berkata, menghidupkan suasana riang gembira dalam semangat kesederhanaan yang tidak melakukan pembaziran perlu menjadi antara teras sambutan perayaan itu.

“Semoga kita akan terus mengukuhkan nilai-nilai keluarga, mempererat silaturahim sesama jiran tetangga serta rakan kenalan. Semoga melalui pelbagai acara sambutan Aidilfitri, persefahaman dalam kalangan warga terus utuh dari pelbagai agama dan kaum akan dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Taman Grandview yang dihadiri oleh para pemimpim UMNO dan Barisan Nasional serta rakyat jelata, malam kelmarin.

Juhari berpendapat tradisi rumah terbuka adalah petua yang boleh mengeratkan perpaduan dan mengikis sikap prejudis antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Jika Sabah menjadi ikon dalam konteks perhubungan kaum yang harmoni dan bersatu padu, ia perlu terus diperkasa dan dipertahankan di mana ia merupakan elemen penting bagi rakyat di negeri ini untuk terus menikmati kemajuan pembangunan yang berterusan,” katanya.

Beliau menegaskan Aidilfitri bukan untuk diraikan oleh umat Islam sahaja, sebenarnya ia sudah menjadi budaya bahawa hari raya disambut dan diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk bukan beragama Islam.

Sehubungan itu, beliau turut mengajak umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia memanfaatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan memulih dan memperbaiki hubungan yang dingin serta retak sesama mereka.

“Kita perlu gunakanlah peluang sempena hari dan bulan baik ini untuk memperkasakan perpaduan dan ikatan muhibah seluruh rakyat pelbagai agama dan bangsa,” katanya.

Juhari berkata majlis itu mahukan rakyat menggunakan budaya kunjung mengunjungi dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri sebagai wadah mengeratkan hubungan silatulrahim.

Katanya rakyat khususnya umat Islam di negara ini perlu bersyukur hidup dalam suasana aman dan damai berbeza dengan rakyat di negara lain yang hidup di bawah pelbagai bentuk tekanan politik, ekonomi mahupun psikologi akibat prejudis yang tercetus oleh peperangan terhadap keganasan global.

Pada majlis sama, beliau melahirkan penghargaan kepada golongan yang bertugas semasa Aidilfitri terutama pasukan keselamatan terutama anggota polis dan tentera serta petugas di sektor perkhidmatan kritikal yang perlu mengendalikan perkhidmatan 24 jam.

“Mereka (pasukan keselamatan) telah melakukan pengorbanan yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ketika orang lain berhari raya bersama keluarga. Kita amat menghargai pengorbanan mereka,” katanya.

Beliau memberitahu apa yang dikecapi umat Islam di Malaysia tidak terjadi dengan sendiri tetapi hasil pengorbanan darah, keringat dan air mata para pejuang kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan negara dari dahulu hingga sekarang.

Menyentuh bulan Ramadan, Juhari menjelaskan tujuan ibadah puasa adalah untuk menyemai keinsafan kerana terdapat golongan yang berada dalam keadaan susah untuk mendapatkan makanan seperti hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

“Ibadah puasa diharap mampu menyemai keinsafan mendalam dalam kalangan insan yang dilimpahi kemewahan rezeki untuk bersedekah.

Beliau berkata mereka perlu menghargai makanan dan menghentikan pembaziran selain tampil menghulur bantuan kepada mereka yang berada dalam kesusahan.

“Kita yang mempunyai pendapatan lebih perlu mempunyai sikap prihatin dan pemurah untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Advertisement