Anda di sini

Bersatu tangani ancaman pengganas

Advertisement
 Frankie (tiga kiri) bersama jawatankuasa MCCC Sabah yang lain bergambar bersama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman (empat kiri) dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (lima kanan).

PERANGI HABIS-HABISAN: Frankie (tiga kiri) bersama jawatankuasa MCCC Sabah yang lain bergambar bersama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman (empat kiri) dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (lima kanan).

KOTA KINABALU: Berikutan siri serangan pengganas yang berlaku di luar negara dan Semenanjung Malaysia yang dilihat semakin membimbangkan, Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah menyarankan masyarakat di negeri ini agar mengekal dan memperkukuhkan perpaduan sedia ada.

Presiden MCCC Datuk Frankie Liew berkata dengan kewujudan masyarakat berbilang kaum di negeri ini, keharmonian sedia ada perlu dikekalkan bagi menolak sebarang anasir luar mengancam perpaduan kaum.

Oleh itu, beliau menggalakkan masyarakat agar menyebarkan semangat positif sebagai benteng bagi berdepan ancaman pengganas.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, beliau menyarankan kepada masyarakat di negeri ini agar menunjukkan semangat masyarakat harmoni yang mana, masyarakat berbilang kaum bersama-sama meraikan perayaan itu di bawah satu bumbung. “Sebarkan tenaga positif bagi menentang pengganas,” katanya pada sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah, di sini Khamis lepas.

Beliau mengetuai rombongan MCCC yang hadir dalam majlis berkenaan.

Mengenai insiden pengganas yang berlaku, beliau percaya agensi penguatkuasaan akan berusaha menangkap pihak yang terlibat dalam insiden serangan pengganas di Movida Kitchen, Bar & Club Lounge di Puchong, baru-baru ini. Keadilan perlu ditegakkan bagi memastikan keselamatan masyarakat, pelancong serta pelabur di negara ini.

Dalam pada itu, bagi memastikan aktiviti perniagaan antara Sabah dan China terus kukuh, Frankie berkata MCCC Sabah akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta bagi mempermudahkan urusan perdagangan antara kedua-dua wilayah itu.

Beliau tidak ingin usaha yang dilakukan itu terjejas. MCCC akan menjalankan pelbagai usaha dan aktiviti bagi membantu meningkatkan kemajuan ekonomi di negeri ini.

Turut hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri itu adalah Penasihat Kehormat MCCC Sabah Datuk James Hwong, Naib Presiden MCCC Sabah Fong Ngee Kee dan Datuk Tan Tiang Lai.

Advertisement