Anda di sini

Shafie belum fikirkan hala tuju politiknya

Advertisement
 Shafie dan isteri bersama pemimpin yang hadir pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di pekarangan rumah beliau. Turut kelihatan Chan, Junz dan Steven.

BELUM PASTI: Shafie dan isteri bersama pemimpin yang hadir pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di pekarangan rumah beliau. Turut kelihatan Chan, Junz dan Steven.

SEMPORNA: Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal belum memikirkan hala tuju kepimpinan politiknya selepas meninggalkan UMNO Isnin lalu.

Demikian juga pada mana-mana tawaran yang mengajaknya menyertai parti pembangkang, beliau berkata, masih belum bersedia.

“Pada saat ini, saya belum ada apa-apa persediaan diri dari segi apa pun… yang penting untuk saya lihat keadaan ini (sokongan rakyat kepadanya),” katanya ditemui selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di pekarangan rumah beliau, di sini kelmarin.

Shafie mengulas tawaran Ketua Pembangkang Sabah Datuk Seri Lajim Ukin yang mengalu-alukan beliau menyertai Pakatan Harapan atau mana-mana komponen parti pembangkang.

Beliau berkata, adalah penting baginya meneruskan perjuangannya kerana selama ini beliau bekerja membantu rakyat dan pembangunan negara.

Mengulas tentang sama ada beliau akan menarik balik keputusan beliau yang keluar parti sepertimana tindakan pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Shafie menghormati tindakan itu.

“Saya amat menghargai beliau sebagai rakan saya dalam perjuangan UMNO dan saya pun telah memberi sumbangan kepada UMNO tapi rasanya keadilan terhadap saya tidak telus,” katanya.

Majlis itu dihadiri lebih 10,000 tetamu dari kalangan pemimpin dan rakyat dari dalam dan luar daerah.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Tanjung Chan Fong Hin, ADUN Likas Junz Wong, Ahli Parlimen Sandakan Steven Wong dan ADUN Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong.

 

Advertisement