Anda di sini

Sambutan hari raya terjejas, rumah terbakar di Kampung Kitagas

Advertisement

SANDAKAN: Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi sebuah keluarga terjejas apabila rumah mereka di Kampung Kitagas, Batu 28 Jalan Labuk, di sini musnah dalam satu kebakaran semalam.

Ketika kejadian, pemilik rumah itu Said Harun, 53, bersama isteri dan dua anak-nya tidak berada di rumah kerana dalam perjalanan ke rumah keluarganya di Sugut.

Menurut Harun dia hanya mengetahui rumahnya terbakar apabila dihubungi jirannya.

“Apabila balik ke rumah, separuh dari struktur rumah sudah musnah terbakar dan kami gagal menyelamatkan barang serta dokumen penting dari rumah. Segala barangan dan pakaian baharu menyambut Hari Raya Aidilfitri turut musnah terbakar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata dia dan keluarganya menerima kejadian itu sebagai ujian dari Allah khususnya ketika umat Islam menyambut bulan Syawal.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad berkata dua jentera bersama lapan anggota bomba dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.54 pagi.

Katanya struktur rumah tersebut terbakar keseluruhannya dan api dipadam sepenuhnya pada jam 9.49 pagi.

Menurutnya punca dan anggaran kerugian kebakaran itu masih dalam siasatan. — Bernama

 

Advertisement