Anda di sini

Kereta hilang kawalan punca kemalangan maut di Tuaran

Advertisement

 Dua daripada lima kenderaan remuk teruk selepas terbabit dengan kemalangan di Jalan Tuaran-Tenghilan berdekatan Kampung Kindu, di Tuaran petang Rabu.

HILANG KAWALAN: Dua daripada lima kenderaan remuk teruk selepas terbabit dengan kemalangan di Jalan Tuaran-Tenghilan berdekatan Kampung Kindu, di Tuaran petang Rabu.

TUARAN: Polis sahkan kemalangan maut membabitkan lima kenderaan di Jalan Tuaran-Tenghilan berdekatan Kampung Kindu, di sini, pada petang Rabu lalu adalah disebabkan salah sebuah kereta yang hilang kawalan sebelum berlakunya pertembungan empat kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintenden Abdul Fuad Abdul Malik berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah kereta jenis Proton Preve yang dalam perjalanan dari arah Kota Belud menuju ke Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta Proton Saga di laluan berkenaan.

“Rempuhan terbabit menyebabkan kereta Proton Saga melanggar dua buah kenderaan lain yang berada di belakang Proton Preve iaitu Ford Ranger dan Isuzu Trooper.

“Sebuah lagi kereta Perodua Viva yang berada di belakang Proton Saga terbabit ingin mengelak daripada melanggar keempat-empat kenderaan berkenaan, namun terbabas ke dalam longkang di tepi jalan menyebabkan seorang mangsa maut dan tiga yang lain cedera di dalam kereta berkenaan,” katanya.

Fuad berkata, mangsa Mahadi Ibrahim, 66, disahkan maut serta-merta di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah dan pendarahan teruk di badan.

“Tiga lagi mangsa termasuk pemandu yang berumur 22 hingga 61 tahun mengalami kecederaan parah dan patah di bahgaian tangan dan kaki dalam kejadian berkenaan.

“10 lagi mangsa di dalam empat kenderaan lain hanya mengalami pelbagai kecederaan ringan,” katanya.

Beliau berkata, tiga mangsa yang parah kini sudah dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) untuk menerima rawatan selanjutnya manakala mangsa yang maut sudah selesai dibedah siasat dan diserahkan kepada keluarga untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Fuad juga mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa bersabar dalam pemanduan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku terutamanya pada musim perayaan.

 

Advertisement