Anda di sini

Bumbung SK Matanggal tercabut akibat angin kencang dan ribut

Advertisement

BELURAN: Bumbung bangunan Sekolah Kebangaan (SK) Matanggal di Sugut Paitan, kira-kira 180 kilometer dari sini, mengalami kerosakan teruk dan ‘tercabut’ dari struktur dinding bangunan ekoran bencana alam yang melanda perkampungan itu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang Ahad lalu (3 Julai) berpunca daripada angin kencang, hujan lebat dan ribut petir yang melanda perkampungan terpencil itu menyebabkan keseluruhan atap dan bumbung bangunan sekolah tercabut diterbangkan angin.

Guru Besar SK Matanggal Parizal @Mohd Parizal berkata sebahagian bumbung bangunan sekolah telah menimpa bangunan kantin yang terletak berhampiran.

Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa akibat bencana itu yang berlaku semasa cuti sekolah dan hanya seorang pengawal keselamatan iaitu Rondnol Engga yang bertugas, berada di sekolah semasa kejadian itu.

“Hujan lebat dan tiupan angin kencang serta ribut petir menyebabkan bumbung bangunan sekolah diterbangkan angin dan menimpa bangunan kantin,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, kelmarin.

Katanya, keseluruhan bangunan kantin tertindih oleh bumbung sekolah menyebabkan bangunan kantin turut mengalami kerosakan yang agak teruk.

“Kejadian itu (bumbung tercabut) mengakibatkan banyak peralatan sekolah yang rosak dan tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Parizal berkata terdapat juga peralatan sekolah yang rosak dan pecah akibat terjatuh dari tempat yang tinggi manakala perabut seperti meja dan almari rebah menimpa pelbagai barangan lain dan basah akibat hujan lebat.

“Bilik guru yang serbaguna sebagai pusat sumber, bilik SPBT, bilik stor peralatan, sukan dan banyak lagi aktiviti yang dijalankan di situ, paling teruk terjejas,” katanya.

Beliau menambah, semua dokumen sekolah yang disimpan dalam ring fail habis basah dan rosak tetapi pihak sekolah telah berusaha sehabis daya untuk menyelamatkan semua dokumentasi sekolah dengan bantuan pekerja swasta (pengawal keselamatan dan pembersihan kawasan sekolah) serta bantuan penduduk kampung.

Parizal berkata kejadian itu telahpun dilaporkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk tindakan lanjut. — Bernama

Advertisement