Anda di sini

Petani Kundasang mahu mekanisme efisien

Advertisement

KUNDASANG: Penanam sayur tanah tinggi di Kundasang mahu satu mekanisme efisien diambil bagi mengatasi masalah bekalan air supaya tanaman mereka khususnya di kawasan Mentaki Mesilau tidak terjejas teruk walaupun berlaku musibah seperti gempa bumi dan kemarau.

Pengusaha sayur, Artin Jafrin berkata ini penting agar petani tidak menghadapi kesukaran melakukan aktiviti bercucuk tanam selain bekalan air untuk menyiram sayur-sayuran sentiasa cukup, sekali gus membantu menghasilkan sayur tanah tinggi berkualiti.

Sehubungan itu, Artin yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang pertanian mencadangkan supaya kerajaan menyediakan kemudahan penyimpanan air bagi mengumpul sumber air yang dipam dari sungai berdekatan yang dikhususkan untuk aktiviti pertanian.

“Dengan adanya ‘intake’ dan ‘bank’ air khusus untuk pertanian, ia akan membantu petani mengusahakan tanaman mereka secara lebih efisien kerana ada penyaluran air terus ke kebun sayur selain pembahagian air dapat dibuat secara sama rata,” katanya kepada Bernama.

Penduduk Kampung Cinta Mata itu mengakui menghadapi masalah bekalan air untuk pertanian selepas berlaku banjir lumpur di Kampung Mesilau susulan kejadian tanah runtuh kesan daripada gempa bumi pada 5 Jun tahun lalu.

Ini berikutan sumber air penduduk di kawasan itu iaitu Sungai Mesilau terjejas teruk sekaligus menyebabkan paip yang dipasang untuk mengambil air graviti rosak dan hanyut, kata Artin.

Katanya, walaupun ada usaha mengatasi masalah air daripada berterusan, namun ia tidak berpanjangan kerana selepas tragedi itu, fenomena El Nino atau musim kemarau pula melanda seluruh negara, dan Kundasang tidak terkecuali.

Sementara itu, Suhinin Sapin dari Kampung Lembah Permai berkata masalah air ketika ini tidak seteruk selepas banjir lumpur tahun lepas memandangkan ada jadual bekalan air dibuat Koperasi Pembangunan Desa (KPD) bertujuan memastikan bekalan dapat disalurkan kepada semua penduduk di 18 kampung di Kundasang.

Bagaimanapun, katanya, bekalan air dilihat masih tidak mencukupi untuk aktiviti harian mahupun pertanian memandangkan kuantiti air yang banyak diperlukan untuk menyiram tanaman sayur.

Untuk itu, beliau berharap kerajaan dapat memberi sumbangan tangki kepada setiap rumah di kawasan itu bagi memudahkan mereka mengumpul air yang mencukupi untuk aktiviti harian dan pertanian dalam tempoh penjadualan itu.

Penjual sayur, Safwana Masudi dari Kampung Kinandusan berkata masalah air di Mentaki Mesilau menyebabkan pengeluaran sayur berkurangan, sekali gus mempengaruhi peningkatan harga borong.

“Harga borong sayur-sayuran masih lagi mahal contohnya kubis bunga daripada RM1.80 sekarang sudah mencecah RM2 sekilogram,” katanya.

Perkara sama turut melibatkan sayuran lain seperti lada hijau, tomato dan daun bawang. — Bernama

 

Advertisement