Anda di sini

Perjumpaan di setiap zon UMNO Sabah kukuhkan perpaduan

Advertisement

 Musa (tengah) menerima cenderahati disampaikan Samsudin sambil diperhatikan para ketua Bahagian Zon 5.

PERPADUAN: Musa (tengah) menerima cenderahati disampaikan Samsudin sambil diperhatikan para ketua Bahagian Zon 5.

SANDAKAN: Perjumpaan di enam zon di seluruh negeri ini pada bulan Ramadan memberi peluang kepada kepimpinan UMNO Sabah untuk mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, perpaduan yang kukuh dalam kalangan ahli terutama akar umbi merupakan tunjang yang membolehkan parti itu terus kuat meliputi setiap peringkat.

“Zon 5 merupakan yang terakhir bagi UMNO Sabah untuk mengadakan majlis berbuka puasa di seluruh negeri ini. Saya bersama Exco UMNO Sabah telah menjelajah ke seluruh negeri mengikut zon yang ditetapkan iaitu 6 Zon.

“Dalam perjumpaan ini, saya amat gembira sekali kerana nampaknya sokongan dan dokongan ketua-ketua bahagian kepada zon-zon terlibat semuanya baik. Selain itu, kita juga dapat berjumpa dengan pemimpin akar umbi dan seterusnya bertukar-tukar pandangan dan kita juga dapat mengetahui apa masalah di bahagian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 5 yang meliputi Sandakan, Libaran, Kinabatangan, Beluran dan Batu Sapi, dan Majlis Perasmian Masjid Wassatiyah Batu Sapi, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan, Speaker DUN Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Sandakan Tan Sri Ampong Puyon, Ketua Bahagian UMNO Batu Sapi yang juga ADUN Sekong Datuk Samsudin Yahya, Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dan Ketua Bahagian UMNO Beluran Datuk James Ratib.

Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga turut gembira dengan sokongan tidak berbelah-bahagi daripada kepimpinan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri menerusi kehadiran mereka pada majlis-majlis berbuka puasa yang diadakan.

“Apa yang lebih menggembirakan ialah kehadiran pemimpin daripada komponen Barisan Nasional (BN) pada majlis ini.

“Ini seperti apa yang selalu kita katakan di mana rakyat Sabah yang terdiri daripada suku kaum, agama dan budaya yang berbeza, namun ia bukan penghalang untuk kita sama-sama duduk semeja. Nampaknya, toleransi di antara kaum dan agama cukup tinggi di Sabah.

“Inilah cara kita di Sabah. Kita akan meneruskan amalan ini khususnya di bulan Ramadan kerana ia mampu mengeratkan silaturahim. Selain itu, dapat berjumpa dan bermesra sekali gus mengetahui sebarang masalah yang timbul di bahagian masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu, Musa turut menyaksikan penyerahan kunci Masjid Wassatiyah, Batu Sapi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

 

 

Advertisement