Anda di sini

Ramadan beri peluang kembangkan perniagaan

Advertisement

Tempahan kuih raya mampu memberi pulangan lumayan

PAPAR: Bermula dengan membuat 800 biji kuih makmur yang ditempah keluarga terdekat pada Mac dan April lalu, Salfizah Mohd Ismail bertekad membuka tempahan kepada orang ramai yang meminati kuih tradisi itu untuk Aidilfitri tahun ini.

Salfizah, 30, pada awalnya tidak menyangka sepupu dan ibu saudaranya memberi respons positif dan berpuas hati dengan kuih makmur yang dibuatnya memandangkan beliau tiada pengalaman membuat biskut raya.

Bagaimanapun, berbekalkan resipi turun-temurun kuih makmur daripada ibunya dan diubah suai supaya lebih sedap, suri rumah sepenuh masa itu memulakan langkah dengan modal RM30.

“Pada mulanya, saya sekadar suka-suka membuat kuih makmur untuk diri sendiri sebab saya sememangnya meminati kuih itu. Namun, kebetulan ibu saudara dan sepupu berminat dan kemudian membuat tempahan,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Takapan, Membakut, dekat sini.

“Sebarang kekhuatiran saya tolak ketepi kerana sedar ia peluang untuk saya memulakan perniagaan kuih raya sekali gus mengembangkan perniagaan sedia ada dengan menjual kek Brownies,” kata wanita itu yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan) daripada Universiti Malaysia Sabah.

Walaupun bermula secara kecil-kecilan dengan peralatan terhad, Salfizah boleh berbangga kerana ia bukan penghalang untuknya menyiapkan tempahan 3,500 biji kuih makmur dengan dibantu ibu dan adik perempuannya.

“Walaupun masih baru, saya gembira apabila menerima tempahan lebih 7,000 kuih makmur dan tat nanas yang saya fikir satu permulaan baik untuk saya lebih serius meneruskan perniagaan ini,” katanya sambil menambah pelanggannya tinggal di lokasi seperti Kota Kinabalu dan Membakut.

Sementara itu, Nesha Azuren Abdul Ghani, 24, berkata Ramadan tahun ini melakar sejarah buat dirinya dengan pembukaan butik Azuren’s Collection secara rasmi pada 17 Jun lepas di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jalan Karamunsing, Kota Kinabalu.

Wanita berasal dari Keningau itu sudah berjinak-jinak dengan dunia keusahawanan sejak berusia 16 tahun lagi dengan menjalankan perniagaan menjual pakaian termasuk baju kurung dan baju Melayu melalui laman sosial.

“Ramadan dan Aidilfitri adalah bulan rezeki untuk saya yang sekali gus memberi peluang kepada saya untuk mempromosikan perniagaan butik ini,” katanya.

Walaupun menyedari perniagaan butik ada persaingan tersendiri, Nesha Azuren tidak patah semangat dan akan terus berusaha memastikan kualiti produk dan harga yang ditawarkan memberi kepuasan kepada pelanggannya. — Bernama

Advertisement