Anda di sini

PPWS edar 800 bubur lambuk kepada pengunjung Wisma MUIS

Advertisement

KOTA KINABALU: Persatuan Peniaga Wisma Muis (PPWS)  mengedarkan sebanyak 800 bubur lambuk kepada orang ramai sempena Ramadan di Wisma MUIS, Jumaat lepas.

Pengerusi PPWS Shabudin Datuk Mohd Dun berkata, kegiatan amal itu adalah program pertama PPWS  yang bertujuan memberi penghargaan atas sokongan orang ramai yang sentiasa mengunjungi wisma berkenaan.

“Bubur lambuk ini kita sediakan secara bergotong-royong bersama ahli PPWS sendiri sesudah selesai menunaikan solat Jumaat.

“Kita bersyukur kerana dapat melaksanakan program ini dengan jayanya selaras dengan tujuan kita untuk menyalurkan sumbangan amal berupa juadah berbuka untuk orang ramai tidak kira dari pelbagai kaum mahupun agama,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo pada Program Pengagihan Bubur Lambuk PPWS, di sini Jumaat lepas.

Shabudin berkata, pihaknya juga akan terus melaksanakan pelbagai program yang bukan sahaja pada musim perayaan tetapi pada hari biasa sebagai khidmat sosial dari persatuan berkenaan.

Mengulas mengenai latar belakang PPWS beliau berkata, setakat ini persatuan itu memiliki 28 ahli terdiri daripada para peniaga tetap Wisma MUIS tidak termasuk peniaga gerai yang hampir lebih 50 orang.

Katanya, perbincangan menubuhkan persatuan itu bermula sejak Mac lalu dan kini menunggu keputusan rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM atau ROS) setelah pihaknya mengemukakan semua dokumentasi yang diperlukan.

“Objektif penubuhan PPWS adalah untuk menyatupadukan para peniaga wisma ini seterusnya menjadi saluran rasmi kepada ahli membincangkan permasalahan untuk dibawa kepada pihak pengurusan.

“Pada masa sama, ia juga bertujuan membincangkan mengenai transformasi peniaga di sini untuk kemajuan dan kejayaan bersama khususnya dalam meningkatkan kehadiran orang ramai di wisma ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar peniaga yang lain akan turut menyertai persatuan itu bagi menjaga kebajikan mereka.

Advertisement