Anda di sini

Lipat ganda usaha pada bulan Ramadan: Nizam

Advertisement

TAWAU: Umat Islam diseru melipatgandakan amalan di samping beramal soleh di bulan Ramadan yang mulia ini.

Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ia menjanjikan pahala begitu besar sekiranya ummah memperbanyakkan amalan mereka.

“Amalan yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadan ini sudah pasti akan mendapat keberkatan asalkan setiap umat Islam tabah dalam menghadapi setiap dugaan dan rintangan yang datang.

“Kita selalu turun padang dan bukan hanya pada bulan Ramadan saja. Matlamat kita ialah untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan agar mereka dapat mengerjakan ibadah puasa seperti orang lain,” katanya semasa majlis berbuka puasa anjuran Generasi Permotoran Sejagat (GPS) baru-baru ini.

“Ramadan yang penuh barakah dan bulan yang dikenali sebagai madrasah untuk mengubah umat Islam menjadi umat yang lebih baik dan lebih berjaya lagi.

Katanya, objektif kedatangan bulan Ramadan adalah untuk mengajar umat Islam supaya lebih tekun melaksanakan ibadah kepada Allah.

“Dalam bulan Ramadan disediakan berbagai ibadah dan ganjaran pahala yang sangat istimewa kepada mereka yang berjaya mengamalkannya,” katanya antara ibadah yang disediakan ialah berpuasa selama sebulan, solat sunat tarawih, Qiyamullail, Malam Lailatul Qadar dan sebagainya.

Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam agar merebut  ruang dan peluang yang diberikan kepada mereka dengan melaksanakan segala apa yang disediakan dalam bulan Ramadan ini.

“Jangan lepaskan peluang ini, kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita dapat bersama pada Ramadan akan datang,” tegasnya.

Terdahulu pada  majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan kepada anak yatim.

Sehubungan itu Nizam berharap program seumpama itu bukan sahaja dapat berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan, bahkan dapat mengeratkan lagi ukhuwah dan silaturahim sesama kita terutama antara pimpinan parti dan kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau turut menegaskan keamanan yang dikecapi negara terutamanya di negeri ini perlu dipertahankan memandangkan cabaran era global mampu meruntuhkan keharmonian sedia wujud jika rakyat terus lupa terhadap tanggungjawab masing-masing.

Menurut beliau, cabaran pada hari ini sesungguhnya sangat dahsyat tambahan lagi ancaman yang datang serta tidak menentu menuntut rakyat supaya bersatu padu untuk menjadi bangsa yang utuh dan tidak mudah digugat.

“Perpaduan yang erat telah membantu negara ini mengecapi kemakmuran dan sekali gus menguatkan lagi negara untuk menghadapi apa jua sebarang cabaran yang datang. Oleh itu, saya mengajak rakyat di negeri ini agar sentiasa mensyukuri nikmat keamanan yang kita kecapi dan menjadikan kejadian di negara-negara lain sebagai iktibar.

“Di bulan Ramadan al- Mubarak yang penuh berkat ini, marilah kita sama-sama mengukuhkan perpaduan dan meningkatkan amalan di samping sentiasa bersyukur dengan nikmat kehidupan hari ini.

“Bagaimanapun, jangan kita lupa terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya atau OKU, anak-anak yatim, warga emas dan mereka yang daif untuk kita bantu seadanya di bulan mulia ini,” jelasnya.

Advertisement