Anda di sini

Perjudian haram EURO 2016 tumpas

Advertisement

SANDAKAN: Polis di sini berjaya menumpaskan kumpulan terlibat dalam mengatur setiap keputusan perlawanan bola sepak Euro 2016 dengan tujuan perjudian haram (bookie) pada malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zabidi Md.Zain berkata, turut ditahan tiga orang lelaki berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun yang dipercayai penganjur pertaruhan bola sepak berkenaan.

“Kejayaan tangkapan ini juga hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan oleh pihak Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sandakan berkaitan sindiket perjudian bola sepak sepanjang tempoh Euro 2016,” katanya.

Tambah Zabidi, dalam pemerikaan kira-kira jam 10.00 malam itu, turut dirampas satu beg silang warna hitam, wang tunai RM3,729 serta sebatang pen, dua unit telefon bimbit, satu buku memo tercatit master sheet, satu unit komputer riba yang memaparkan pertaruhan bookie bola sepak Euro, satu set kunci kereta, sebuah kereta putih, satu beg silang warna coklat dan wang Filipina bernilai 1,780 Peso.

Zabidi berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat JSJ Balai Polis Bandar Sandakan kelmarin.

Katanya, modus operandi yang digunakan dalam kes itu adalah mengatur setiap keputusan perlawanan Euro 2016 dengan tujuan perjudian haram.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zabidi berkata, sepanjang bulan Jun, IPD Sandakan telah berjaya menumpaskan individu dan kumpulan yang terlibat pelbagai kegiatan jenayah harta benda seperti curi, curi motosikal, cui kereta, curi lori, pecah rumah dan jenayah rompak.

“Dengan kejayaan tangkapan itu, pihak JSJ IPD Sandakan juga telah menjalankan siasatan dan berjaya menyelesaikan 25 kes dan merampas pelbagai barangan iaitu 29 unit barangan, tujuh buah motosikal termasuk komponen yang dileraikan dan dua buah lori hasil dari kegiatan jenayah suspek itu,” katanya.

Suspek tangkapan seramai 11 orang masing-masing lelaki dewasa berumur antara 21 hingga 43 tahun. Kesemua suspek juga didapati positif syabu.

Antara lokasi kejadian termasuk Bandar Indah, Kg.Muhibbah Batu 2 setengah, Batu 8, Jalan Batu 1 setengah, Masjid Kg.Bakau, Jambatan Panjang Batu 2, Jalan Labuk Batu 3, Maybank Bandar Sandakan, Jalan 1, Bandar Sandakan, Indah Jaya Court dan Kampung Cahaya Baru, Batu 3, Sandakan.

Tambahnya lagi polis di sini juga berjaya menyelesaikan kes pecah rumah, pecah kereta dan kes rompak dengan penahanan suspek terbabit.

Advertisement