Anda di sini

Konsep ADD mampu lahir pelajar berpengetahuan luas

Advertisement
 Ronald (tengah) bersama guru SMK Ulu Sapi dan pelajar yang menerima anugerah cemerlang.

CEMERLANG: Ronald (tengah) bersama guru SMK Ulu Sapi dan pelajar yang menerima anugerah cemerlang.

Menjadikan guru lebih kreatif dalam aspek pengajaran

TELUPID: Konsep pembelajaran menerusi ‘Akhbar Dalam Darjah’ (ADD) bukan sahaja mampu melahirkan pelajar berilmu pengetahuan luas, malah menjadikan guru lebih kreatif dalam aspek pengajaran.

Ahli Parlimen Beluran yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata konsep ADD mampu melahirkan pelajar berpengetahuan tinggi selain menjadikannya sebagai alat bantu mengajar kepada guru-guru sekolah.

Katanya, penggunaan ADD sebagai tambahan aktiviti pembelajaran sekaligus mampu membantu pelajar ketika menghadapi peperiksaan yang dihadapi.

Berucap pada perasmian Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sapi di Telupid kelmarin, Ronald berkata penggunaan akhbar sebagai alat pembelajaran dapat menambah ilmu pengetahuan pelajar.

Katanya, ia sekali gus mendedahkan mereka kepada isu semasa negara dan dunia amnya selain menjadikannya sebagai satu budaya membaca dalam kalangan pelajar luar bandar.

Beliau berkata pelancaran ADD di Telupid adalah sebagai perintis dan dilaksanakan secara berkala, bagaimanapun ia tidak meenghalang untuk menjadikannya sebagai aktiviti secara berterusan untuk mendedahkan lebih banyak sekolah dengan program seumpama.

Dalam perkembangan lain, Ronald mengingatkan pelajar sekolah luar bandar agar tidak menjadikan kemiskinan sebagai pendorong negatif yang membawa ke arah kegagalan diri khususnya dalam aspek pendidikan.

Menurutnya kemiskinan bukan alasan kukuh pelajar untuk tidak berjaya dalam pendidikan mahupun membawa perubahan kehidupan keluarga.

Sementara itu, Pengetua SMK Ulu Sapi Albert Andau Paulus Andau menyifatkan tajaan akhbar ke sekolah berkenaan oleh Parlimen Beluran sebagai langkah bijak dalam memupuk minat membaca kalangan pelajar luar bandar.

Advertisement