Anda di sini

Jangan ambil tindakan lari dari konsep parti: Yahya

Advertisement

PUTATAN: Ahli UMNO di Sabah dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut dengan sebarang tindakan yang lari daripada konsep parti.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata, ahli UMNO sepatutnya taat kepada parti.

Katanya, keputusan yang dibuat pucuk pimpinan khususnya Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu disokong.

Ia kerana jelasnya, ahli UMNO memberi mandat kepada MT menerusi mesyuarat setiap tahun dan pihak berkenaan diberi kepercayaan untuk mengurus tadbir parti.

“Justeru, apabila mereka membuat keputusan seperti memecat, menggantung atau ambil tindakan disiplin, kita semua beri sokongan untuk memastikan perjalanan parti tidak dikotori dan disalah guna.

“Kita mempunyai undang-undang, perlembagaan dan peraturan yang patut diikuti kerana semua itu ditetapkan oleh ahli UMNO dan perwakilan yang bermesyuarat.

“Jika kita mengambil tindakan yang bercanggah dengan apa yang ditetapkan dalam parti, sudah tentu kita akan dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bungkusan kuih hari raya kepada pasukan keselamatan dari kawasan Putatan dan Penampang di Pejabat Daerah Putatan, di sini kelmarin.

Yahya turut menasihatkan agar ahli UMNO di negeri ini bertenang dan memberi perhatian kepada arahan selanjutnya dari pucuk pimpinan parti.

“Mana-mana ahli yang terlanjur mengambil tindakan salah, mereka masih ada masa dan peluang untuk berfikir kembali.

“Setakat ini, kita belum ada menerima sebarang surat peletakan jawatan khususnya kepada Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Sabah,” katanya.

Pada majlis itu, beliau berkesempatan mengagihkan sumbangan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri kepada pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan Putatan dan Penampang.

Menurutnya pasukan keselamatan yang menerima agihan sumbangan berkenaan termasuklah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Balai Polis Putatan, Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, serta Kem Lok Kawi.

Yahya yang juga ADUN Petagas mewakili kerajaan dan juga rakyat di kawasannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan seperti tentera, polis dan bomba.

“Tanpa pasukan keselamatan yang terus menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka, kita mungkin tidak dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Daerah Putatan Ag Abd Ghani Pg Yusoff, Ketua Daerah Putatan OKK Yunus Ismail, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Petagas Ali Hussin Sharin dan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Rosley Hobden.

Advertisement