Anda di sini

Guna hak sebagai pengguna ketika membeli makanan

Advertisement

Pastikan makanan itu selamat untuk dimakan: James

 James (tengah) meneliti maklumat barangan yang dijual di Milimewa Kota Kinabalu.

PASTIKAN SELAMAT: James (tengah) meneliti maklumat barangan yang dijual di Milimewa Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Pengguna diingatkan supaya berhati-hati apabila membeli makanan di mana-mana sahaja.

Pegawai Kesihatan Persekitaran James Philip Suladi berkata pengguna harus memainkan peranan apabila membeli makanan dengan memastikan makanan yang dibeli itu selamat untuk dimakan.

“Mereka ada hak sebagai pengguna untuk memilih dari segi kualiti dan keadaan barangan yang ingin dibeli. Pengguna harus memastikan tarikh luput dan keadaan makanan tin dalam keadaan baik.

“Mereka perlu membeli makanan dalam tin yang tidak kemek dan berkarat. Makanan tin yang berkarat dan kemek kemungkinan akan berlaku pencemaran pada makanan itu melalui lubang-lubang kecil yang terhasil daripada ketukan pada tin itu,” katanya pada Ops Raya yang dijalankan di beberapa pasar raya sekitar Kota Kinabalu kelmarin.

James juga menyarankan kepada pengguna untuk membuat laporan ke Pejabat Kesihatan yang terdekat jika menjumpai makanan yang mungkin memudaratkan kesihatan ataupun sangsi makanan berkenaan sudah rosak.

“Bukan pihak kesihatan dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sahaja yang memainkan peranan ini, tetapi juga semua pengguna untuk menjamin kesihatan bersama,” katanya.

Melalui Ops Raya yang dijalankan bersama dengan DBKK dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Kota Kinabalu itu mendapati ada pengusaha pasar raya yang tidak mengikut piawaian kesihatan yang telah ditetapkan iaitu mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di pasar raya.

James berkata mereka juga memantau dan memeriksa tempat penyimpanan makanan yang berkemungkinan terdapat sarang lipas, lalat dan tikus (Lilati).

“Jika terdapat lalat di pasar raya itu, kita akan memberi satu arahan penutupan segera.

“Namun begitu, bukan keseluruhan premis itu tetapi hanya sebahagian tempat yang dikenal pasti sahaja akan diarahkan untuk penutupan.

“Kita akan memberi arahan penutupan selama dua minggu untuk memberi mereka ruang pada permis bagi menjalankan pembersihan ataupun menggantikan kawasan itu,” katanya.

James berkata sejumlah 178 barangan telah disita di dua pasar raya iaitu Servay Hypermarket, KK Plaza dan Milimewa Kota Kinabalu yang bernilai RM1,493.51.

“Antara kesalahan yang telah dilakukan oleh premis berkenaan adalah kemek, tarikh luput, cair beku, rosak dan bungkusan terbuka,” katanya.

Sehubungan itu, Pejabat Kesihatan juga akan memantau barangan makanan bermusim yang akan dijual hanya pada perayaan seperti biskut raya, sama ada mereka menjual makanan itu sebelum atau selepas tarikh luput.

“Operasi ini akan dijalankan sepanjang bulan Ramadan, tetapi tidak akan berhenti selepas raya sahaja.

“Kita akan adakan operasi secara kerap untuk memastikan makanan yang dijual di bandar raya Kota Kinabalu adalah selamat dan sesuai untuk dimakan oleh pengguna,” katanya.

Sementara itu, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai berkata operasi berkenaan selaras dengan strategi 4P DBKK yang ketiga iaitu penguatkuasaan peraturan dan undang-undang.

“Ops ini adalah satu inisiatif agensi-agensi kerajaan untuk memastikan hanya barangan yang mengikut piawaian dijual kepada pengguna pada harga yang ditetapkan.

“Semasa operasi ini, pemantauan dan pemeriksaan akan dijalankan ke atas makanan yang dijual di pasar raya bagi memastikan ia dalam keadaan selamat dan sesuai dimakan oleh pengguna.

“Aspek-aspek yang akan diberi perhatian adalah seperti tarikh luput, kesempurnaan pembungkusan makanan, keadaan fizikal barang makanan yang dijual (makanan tin) tidak berkarat, kemek ataupun mengalami kecacatan pada bahagian luaran,” katanya ketika taklimat Ops Raya di sini kelmarin.

Yeo juga menasihatkan para peniaga supaya menjual menjual makanan yang masih baik serta tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

“Manakala, para pengguna pula adalah dinasihatkan agar menjadi pengguna yang bijak dan sentiasa peka terhadap tarikh luput barangan yang akan dibeli, dan bijak membezakan harga sebelum membeli barangan,” katanya.

Advertisement