Anda di sini

Polis tahan pengawal keselamatan bantu siasatan kes letupkan ATM

Advertisement

PENAMPANG: Polis menahan seorang pengawal keselamatan bank bagi membantu siasatan kes dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang diletupkan sebelum dilarikan di sebuah bank tempatan di Grand Plaza Putatan, pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Rosley Hobden berkata, pengawal keselamatan berumur 30 tahun terbabit ditahan kira-kira jam 10.45 pagi bagi membantu siasatan polis Jumaat lalu.

Kira-kira jam 4.20 pagi pada 24 Jun lalu, lima perompak bertopeng dengan salah seorang bersenjatakan pisau bertindak meletupkan mesin ATM sebelum melarikan mesin yang mengandungi sejumlah wang terbabit.

Siasatan awal polis mendapati suspek pada mulanya mengancam pengawal keselamatan yang bertugas menyebabkan pengawal keselamatan itu kemudiannya terpaksa melarikan diri ke tingkat atas bangunan berkenaan bagi menyelamatkan diri daripada suspek.

Suspek lain kemudiannya mengambil kesempatan masuk ke dalam bank sebelum meletupkan dua mesin ATM di bank terbabit lalu melarikan diri menggunakan kereta Perodua Myvi bersama peti duit dari mesin berkenaan.

Sementara itu, Rosley berkata sejumlah kira-kira RM254,550 di dalam kedua-dua mesin terbabit berjaya dilarikan suspek selepas pengesahan daripada pihak bank.

Beliau berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian bolehlah menghubungi balai polis berhampiran.

Pada 10 Mei lalu, sebuah mesin ATM di bank tempatan di Pekan Membakut diletupkan sekumpulan penjenayah bertopeng dan bersenjata besi sebelum melarikan wang sebanyak RM70 ribu dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi.

Polis kemudiannya menjumpai mesin ATM yang ditinggalkan suspek sejauh kira-kira 20 meter dari kawasan bank terbabit.

Advertisement