Anda di sini

Ujian mamogram tetap diteruskan

Advertisement
 Azizah (dua  kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar, sambil diperhatikan Che Ros (kanan).

JALIN SILATURAHIM: Azizah (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar, sambil diperhatikan Che Ros (kanan).

Kementerian Kesihatan Malaysia akan kendalikan program bermula Ogos

BEAUFORT: Rakyat terutama golongan wanita tidak perlu bimbang apabila Program Subsidi Ujian Mamogram diserah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka bermula Ogos ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, program mamogram yang dikendali Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah kementerian itu sejak Mei 2007, telah memberi manfaat kepada lebih kurang 100 ribu wanita di negara ini melalui 58 Klinik Nur Sejahtera dan 57 pusat mamogram swasta yang berdaftar.

“Sejak dilancarkan, promosi program mamogram oleh LPPKN telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan di luar jangkaan.

“Kita menjangkakan peruntukan sedia ada akan cukup sehingga ke akhir tahun ini, tetapi nampaknya promosi itu mendapat sambutan yang begitu ramai terutama golongan wanita dalam bandar.

“Subsidi ini diberikan kepada mereka yang berpendapatan isi rumah RM10,000 dan ke bawah, sebab itu ramai yang layak mendapat subsidi berkenaan sehingga peruntukan yang sedia ada kita jangkakan sampai bulan Ogos sahaja.

“Bagaimanapun, golongan wanita tidak perlu bimbang kerana usaha untuk mamogram ini akan diteruskan pula oleh Kementerian Kesihatan sendiri kerana mereka mempunyai kepakaran, peruntukan dan klinik yang sesuai untuk pemeriksaan mamogram,” katanya.

Azizah turut menjelaskan kementeriannya sebelum ini mengadakan kerjsama dengan klinik-klinik swasta dan menanggung kos pengangkutan, tempat tinggal dan sebagainya bagi membolehkan wanita dari luar bandar mendapatkan pemeriksaan itu.

“Kadang-kadang kita juga mengangkut wanita dari kawasan luar bandar. Jadi, kita bukan sahaja memberi subsidi untuk mamogram, tetapi juga pengangkutan, tempat tinggal dan semua kos kita masukkan untuk membantu rakyat.

“Kita dengan rela hati menyerahkan tanggungjawab ini kepada KKM untuk meneruskan kerja yang sangat baik ini,” katanya.

Beliau ditemui media pada Majlis Ihya Ramadan di SMK Beaufort 2, di sini pada Rabu.

Menurutnya, program tahunan di sekolah angkat Ahli Parlimen Beaufort itu bertujuan menjalin keakraban silaturahim di antara wakil rakyat, guru-guru dan para pelajar untuk menjana kejayaan yang lebih cemerlang.

Pada majlis itu, Azizah bersama Pengetua SMK Beaufort 2 Che Ros Bakar juga menyampaikan sumbangan kepada 20 pelajar miskin.

Advertisement