Anda di sini

Kebersihan bazar memuaskan peniaga patuhi arahan dan peraturan

Advertisement

KENINGAU: Pegawai Daerah Yusop Osman berpuas hati dengan tahap kebersihan yang terdapat di bazar Ramadan di daerah ini.

Ketika mengetuai lawatan ke bazar Ramadan di Keningau Mall dan Padang Bandaran bersama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di sini pada Rabu, beliau memberi pujian 100 peratus kepada peniaga yang mematuhi segala arahan dan peraturan daripada jabatan kerajaan berkenaan di sini.

“Sepanjang lawatan kami di kedua-dua bazar berkenaan, para peniaga mematuhi segala arahan daripada jabatan-jabatan kerajaan dengan berpakaian kemas lengkap dengan apron sekali, kebersihan makanan dan minuman yang dijual dijaga dengan baik, selain meletakkan tanda harga,” katanya selepas lawatan itu.

Turut serta semasa lawatan itu ialah Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Rafik Haji Jubar, Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Keningau Gunasegaran Krisnan, Pegawai Penerangan Daerah Hendry Nurdin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Liawan Sahanip Jamil dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Bingkor Kennedy John.

Selain itu, katanya, kesedaran peniaga terhadap pentingnya kebersihan barang-barang yang dijual dan juga tempat perniagaan yang teratur dan kemas turut diberikan keutamaan.

Yusop berharap para peniaga bazar dapat memberikan kerjasama yang penuh agar sentiasa mengutamakan kebersihan ke atas  makanan dan minuman yang dijual di bazar itu.

Katanya, dengan amalan kebersihan, ia dapat menarik lebih ramai pelanggan untuk datang dan membeli makanan dan minuman yang mereka jual.

“Setakat ini, tidak ada aduan yang diterima oleh jabatan-jabatan kerajaan tentang peniaga yang menjalankan perniagaan di bazar ini dan ini menunjukkan bahawa 100 peratus makanan dan minuman yang dijual di bazar ini adalah terjamin kebersihannya,” katanya.

 

Sementara itu, Gunasegaran berkata pemeriksaan ke atas gerai jualan minuman dan makanan di bazar oleh kakitangannya bersama jabatan lain bertujuan memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan seperti meletakkan tanda harga yang jelas pada barangan yang hendak dijual.

Pada masa sama, katanya, para peniaga juga diminta agar mematuhi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang berkuat kuasa pada 16 Jun hingga 6 Julai.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat pada hari ini (kelmarin) mendapati semua peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Ini hasil daripada pemeriksaan dan penguatkuasaan yang berterusan oleh KPDNKK Cawangan Keningau di setiap bazar Ramadan di sekitar Keningau.

“Pemeriksaan juga sering dilakukan di daerah lain seperti Tambunan, Tenom dan Nabawan. Sejak skim kawalan harga musim perayaan Hari Raya dilancarkan sehingga hari ini, KPDNKK Cawangan Keningau belum menerima sebarang aduan mengenai peniaga yang tidak mematuhi harga kawalan,” katanya.

Gunasegaran berkata jika peniaga gagal mematuhi peraturan itu, ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang mana boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

Beliau memberitahu sepanjang enam bulan pertama tahun ini, KPDNKK Cawangan Keningau telah mengambil tindakan terhadap 73 peniaga atas pelbagai kesalahan yang dikuatkuasakan oleh KPDNKK.

“Bagaimanapun, semua kesalahan ini tidak melibatkan kawalan harga musim perayaan. Saya ingin menasihati para pengguna agar sentiasa membuat pilihan sebelum membeli apa juga jenis barang.

“Jangan terpengaruh dengan iklan jualan murah. Beli apa yang perlu sahaja, elakkan membeli-belah di saat-saat akhir kerana ini akan membuka ruang kepada peniaga yang tidak beretika untuk mengambil kesempatan menaikkan harga barang,” katanya.

Beliau menegaskan KPDNKK Cawangan Keningau tidak akan berkompromi sama sekali jika terdapat peniaga yang mengambil kesempatan dalam memanipulasi harga, mengelirukan pengguna dan sewenang-wenangnya menaikkan harga.

Katanya tindakan tegas akan diambil termasuk mengenakan kompaun maksimum dan mendakwa peniaga yang terlibat di mahkamah.

Advertisement