Anda di sini

Pemandu lori maut dalam kemalangan

Advertisement

 Lori yang dipandu mangsa terjunam ke dalam parit konkrit selepas hilang kawalan.

MAUT: Lori yang dipandu mangsa terjunam ke dalam parit konkrit selepas hilang kawalan.

LAHAD DATU: Seorang pemandu lori terbunuh, manakala penumpangnya parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang turut melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda di Kilometer 22 Jalan Lajad Datu-Tawau, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu, mangsa Rudi Ali, 25, yang cedera parah dan tersepit dalam lori yang dipandunya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penumpangnya, dikenali sebagai Abd Rahim Abd Rahman, 44, patah tulang belakang dihantar ke Hospital Lahad Datu (HLD) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata siasatan awal mendapati nahas itu berlaku ketika pemandu lori membawa muatan pelbagai jenis barangan itu bersama penumpangnya dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Tawau.

Pada masa sama katanya, sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 30 tahun sedang berhenti di bahu jalan dari arah sama untuk berteduh disebabkan hujan.

“Sebaik saja tiba di lokasi kejadian, mangsa yang memandu lori dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh motosikal itu sebelum terjunam ke dalam parit konkrit bawah jambatan.

“Penunggang motosikal itu bagaimanapun terselamat kerana sempat melompat sebaik sahaja melihat kelibat lori terbabit yang hilang kawalan menuju ke arahnya menerusi cermin pandang belakang motosikal yang ditunggangnya,” katanya.

Hamzah berkata, mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu Mohd Apandi Mahmood berkata sembilan anggota bomba dikerah ke tempat kejadian yang diketuai oleh PBK II Abu Bakar Taraji, sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan mangsa pertama, iaitu penumpang lori berkenaan sementara pemandunya yang berjaya dikeluarkan kemudian, disahkan meninggal oleh pegawai perubatan.

 

 

 

Advertisement