Anda di sini

Najib lebih daripada mampu mengetuai BN untuk PRU14

Advertisement

Kemenangan besar di dua PRK bukti dakwaan Dr M salah

PUTRAJAYA: Kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lebih daripada mampu untuk mengetuai Barisan Nasional menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, kemenangan besar dalam kedua-dua PRK itu membuktikan adalah salah dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya BN akan kalah di bawah kepimpinan Najib.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata Kempen anti-Najib Tun Mahathir telah gagal dan pembangkang berpecah dan tidak keruan serta dilihat tidak berupaya untuk mentadbir sebuah kerajaan.

“Rakyat mempercayai BN di bawah kepimpinan perdana menteri untuk menyediakan pembangunan ekonomi dan jaminan keselamatan,” katanya Abdul Rahman berkata rakyat telah menunjukkan bahawa mereka menentang sebarang cubaan untuk menumbangkan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Abdul Rahman berkata Tun Dr Mahathir harus menerima kehendak demokrasi rakyat, walaupun ia tidak selari dengan kepentingan peribadinya.

“Adalah lebih baik beliau bersara awal daripada terpaksa menanggung malu lagi,” katanya.

Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh 12,653 undi untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar bagi BN dengan majoriti undi 6,969, mengalahkan Dr Najihatussalehah Ahmad daripada PAS (5,684 undi), Dr Ahmad Termizi Ramli dariada Amanah (4,883) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary (54).

Mastura merupakan balu kepada Ahli Parlimen Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei.

Tan Sri Noriah Kasnon, yang merupakan MP Sungai Besar, turut terbunuh dalam insiden itu yang memerlukan PRK turut dadakan di Sungai Besar.

PRK itu dimenangi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi yang mendapat 16,800 undi untuk mencatatkan rekod tertinggi majoritinya sebanyak 9,191 undi. Beliau mengalahkan Azhar Abdul Shukur daripada AMANAH yang mendapat 7,609 undi dan Dr Abdul Rani Osman (PAS) yang mendapat 6,902 undi.

Di KANGAR, Persatuan Veteran UMNO Perlis berkata kemenangan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar wajar menjadi panduan dan formula bagi BN dalam pemilihan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak.

Pengerusinya, Datuk Selamat Saad berkata isu penting ialah calon yang bakal mewakili BN hendaklah berwibawa dan bersedia berkhidmat kepada rakyat.

“Selain itu ahli-ahli UMNO termasuk kepimpinan bahagian dan cawangan hendaklah menerima siapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi parti dan tidak sekali-kali melakukan sabotaj,” katanya.

Selamat yang juga Yang Dipertua Persatuan Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Perlis, memberitahu Bernama bahawa semangat setiakawan rakan-rakan komponen BN yang menyokong siapa sahaja menjadi calon tanpa mengira bangsa dan agama hendaklah dijadikan prinsip sepanjang masa.

“Saya yakin jika formula ini diamalkan dalam PRU14 akan datang, BN akan dapat terus memerintah malah boleh merampas kembali negeri-negeri yang dikuasai pembangkang,” kata Selamat. — Bernama

Advertisement