Anda di sini

Kekalahan PRK bukan luar biasa bagi pembangkang, kata Azmin

Advertisement

SHAH ALAM: Kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bukan perkara luar biasa bagi parti pembangkang, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kami pernah tewas dan bangkit semula, tetapi yang penting perlu muhasabah diri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Jabatan Kerajaan Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Beliau mengulas keputusan dua PRK iaitu di kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada Sabtu lalu, yang menyaksikan Barisan Nasional menang besar bagi mengekalkan kedua-dua kerusi itu.

Di Sungai Besar, calon BN Budiman Mohd Zohdi menang dengan majoriti 9,191 undi menewaskan calon PAS Dr Abdul Rani Osman dan calon Amanah Azhar Abdul Shukur, dalam pertandingan tiga penjuru.

Di Kuala Kangsar, calon BN Datin Mastura Mohd Yazid menang dengan majoriti 6,969 undi mengalahkan calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad, calon Amanah Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata penjawat awam di Selangor akan menikmati pembayaran bantuan khas kewangan sebanyak satu setengah bulan gaji bagi sambutan Aidilfitri dibayar mulai 1 Julai ini yang memanfaatkan seramai 17,528 orang dari semua gred. — Bernama

Advertisement